Belanjawan 2027 perlu jamin masa depan anak muda, tangani gaji tidak setara - Afnan Hamimi

SHAH ALAM - Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah struktur pasaran pekerjaan bagi memastikan golongan muda mendapat pekerjaan berkualiti, setimpal dengan kelayakan dan kemahiran dimiliki.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, perkara itu perlu diberi perhatian susulan seramai 1.96 juta pekerja berkelulusan diploma dan ijazah berada dalam pekerjaan yang tidak setara dengan tahap kemahiran mereka pada suku keempat 2025.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, angka itu bukan sekadar statistik, sebaliknya menggambarkan cabaran besar dalam menyediakan pekerjaan berkualiti kepada tenaga kerja berpendidikan negara.
“Anak muda menghabiskan masa bertahun-tahun menuntut ilmu, menanggung kos pendidikan dan membina harapan untuk memperoleh pekerjaan yang setimpal.
“Namun, sebahagian daripada mereka akhirnya terpaksa menerima pekerjaan yang tidak menggunakan sepenuhnya kemahiran dan kelayakan yang dimiliki,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya berpuas hati apabila pelaburan dalam pendidikan tinggi gagal diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan lebih baik.
Menurut Afnan Hamimi, pengumuman paras asas gaji minimum RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan dalam Belanjawan 2027 perlu disusuli mekanisme pelaksanaan serta penguatkuasaan yang jelas.
"Adakah ia melibatkan semua sektor atau hanya kategori pekerjaan tertentu? Tanpa mekanisme yang jelas, pengumuman gaji permulaan berisiko menjadi sasaran di atas kertas, sedangkan masalah ketidakpadanan pekerjaan terus berlarutan,” ujarnya.
Afnan Hamimi berpandangan, inisiatif Bakat Madani yang memperuntukkan RM200 juta bagi menyediakan 30,000 peluang pekerjaan juga perlu diperincikan dari segi jenis pekerjaan, kadar gaji, tahap kemahiran dan jaminan perkembangan kerjaya.
Jelasnya, ukuran kejayaan program berkenaan tidak sepatutnya terhenti pada jumlah pekerjaan yang diwujudkan, sebaliknya perlu mengambil kira kualiti pekerjaan serta kemampuan meningkatkan taraf hidup golongan muda.
Dalam pada itu, beliau melihat, penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam berpendapatan hingga RM2,500 dapat memberikan sedikit kelegaan kepada graduan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, katanya, penangguhan hutang bukan penyelesaian kepada masalah pendapatan kerana golongan muda memerlukan peluang meningkatkan gaji dan membina kestabilan kewangan, bukan sekadar menangguhkan komitmen yang akhirnya tetap perlu dibayar.
Menurutnya, cabaran berkenaan turut berkait rapat dengan kemampuan golongan muda memiliki rumah, membina keluarga dan menyediakan simpanan persaraan, terutama apabila pertumbuhan gaji tidak seiring dengan peningkatan kos kehidupan.
Lebih membimbangkan, katanya, laporan sama turut mengetengahkan bahawa kurang 10 peratus ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 30 tahun berada pada landasan mencapai simpanan persaraan asas.
Justeru, katanya, lima perkara perlu diberi perhatian serius termasuklah mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, memperincikan pelaksanaan gaji permulaan RM2,500, meningkatkan keberkesanan program pekerjaan belia, menyelaraskan pendidikan dengan keperluan industri serta memperkukuh mobiliti ekonomi anak muda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

