'Lapor jika majikan halang solat Jumaat di Melaka' – Rais

Rais.
Rais.
A
A
A

MELAKA – Pekerja lelaki beragama Islam yang dihalang majikan daripada menunaikan solat Jumaat diminta segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung pekerja Islam di negeri itu yang tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat.

"Kalau ada, saya minta tolong laporkan sama ada daripada sektor kilang, sektor runcit atau mana-mana sektor sekalipun.

"Tolong laporkan kepada pihak berautoriti dengan segera supaya kita boleh mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang tidak membenarkan solat Jumaat tersebut," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan Melaka mempertimbangkan cadangan supaya premis perniagaan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada pekerja Islam menunaikan solat Jumaat seperti di Terengganu.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong menerusi hantaran di Facebook menyuarakan kebimbangan terhadap arahan penutupan sementara premis perniagaan selama dua jam, bermula 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat di Terengganu.

Beliau mendakwa arahan itu boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam, selain menyifatkannya sebagai cerminan pengaruh dasar keagamaan konservatif Parti Islam dalam pentadbiran awam.

Bagaimanapun, kenyataan itu mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin Pakatan Harapan (PH) sehingga Ahli Parlimen Kota Melaka itu tampil memohon maaf secara terbuka.

Dalam permohonan maafnya, Poay Tiong mengakui kelemahan dalam penyampaian pandangan tersebut khususnya pemilihan kata dan nada yang menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan serta mencetuskan keresahan masyarakat, terutama umat Islam.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rais berkata, cadangan penutupan sementara premis perniagaan ketika waktu solat Jumaat boleh dikemukakan untuk pertimbangan sekiranya terdapat pihak yang mahu langkah itu dilaksanakan di Melaka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan di negeri itu ketika ini masih baik dan harmoni tanpa sebarang isu berbangkit.

"Saya tidaklah kata memperjuangkan, cuma saya cakap beliau telah membuka ruang perbahasan, terutama di media sosial.

"Kalau beliau mahukan perkara itu, beliau juga boleh mencadangkannya secara terus dan kita boleh buat, insya-ALLAH.

"Tetapi dalam masa sama, saya boleh katakan Melaka dalam keadaan baik-baik sahaja. Alhamdulillah, harmoni," jelas beliau.

Rais turut memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada pengusaha premis bukan Islam berhubung keperluan menutup operasi perniagaan ketika waktu solat Jumaat.

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!