Krisis Negeri Sembilan: BN-PN perlu hentikan pertelingkahan politik - MPNPH

SEREMBAN - Semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) didesak segera menghentikan pertelingkahan politik, menghormati proses perlembagaan dan memastikan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan kembali berfungsi dengan teratur.
Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan (MPNPH) Negeri Sembilan dalam kenyataan berkata, Negeri Sembilan bukanlah milik mana-mana parti politik untuk dijadikan medan perebutan kuasa.
Sebaliknya kata kenyataan itu, kepentingan rakyat dan penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu menjadi keutamaan.
Menurutnya, kemelut akibat pertelingkahan kepimpinan BN-PN itu sepatutnya sudah lama diselesaikan, lebih-lebih lagi selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan supaya penyelesaian dilaksanakan mengikut lunas perlembagaan.
"Malangnya, perkembangan mutakhir memperlihatkan pertikaian politik masih belum menemui jalan penyelesaian yang meyakinkan dan sudah lebih 100 hari Negeri Sembilan dibelenggu ketidaktentuan politik dan pentadbiran.
"Sepanjang tempoh tersebut, perhatian rakyat terus diheret kepada pergelutan dalaman UMNO dan perebutan kedudukan dalam kerajaan BN-PN," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pihaknya berpandangan bahawa keadaan terbabit telah menjejaskan keutamaan pentadbiran negeri dan menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran urusan kerajaan.
Ujar kenyataan itu lagi, Negeri Sembilan tidak seharusnya terus menjadi mangsa percaturan politik pihak yang diberikan mandat untuk mentadbir.
"Rakyat memberikan mandat untuk bekerja dan menyelesaikan masalah mereka, bukannya untuk menyaksikan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan.
"Lebih mengecewakan, mesyuarat melibatkan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-PN yang sepatutnya membuka jalan kepada penyelesaian kemelut ini telah memperlihatkan bahawa arahan serta ketetapan kepimpinan parti masih menjadi sandaran utama dalam menentukan pendirian mereka," kata kenyataan terbabit.
Selain itu, pihaknya turut mempersoalkan mengapa penyelesaian berlandaskan perlembagaan dan penghormatan terhadap kedudukan Tuanku Muhriz tidak diberikan penekanan yang sama jelas.
MPNPH Negeri Sembilan turut membangkitkan percanggahan antara kenyataan kepimpinan tertinggi BN dengan perkembangan politik di peringkat negeri.
"Presiden UMNO sendiri telah menyatakan bahawa penyelesaian kemelut Negeri Sembilan perlu diserahkan kepada kebijaksanaan Tuanku Muhriz.
"Namun, pertelingkahan berhubung kedudukan Menteri Besar masih berterusan dan keadaan ini menimbulkan persoalan besar mengenai kesungguhan BN-PN untuk menoktahkan kemelut tersebut," kata kenyataan itu.
Tegasnya, kesetiaan kepada institusi diraja tidak memadai dengan kenyataan terbuka semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan yang selaras dengan titah, perkenan dan peruntukan perlembagaan
Lebih membimbangkan katanya, ketidaktentuan politik itu berlaku ketika negeri bakal menghadapi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.
"Belanjawan negeri bukan sekadar dokumen kewangan kerajaan, sebaliknya melibatkan peruntukan pembangunan, kebajikan rakyat, kemudahan awam dan kelangsungan ekonomi negeri.
"Jangan sampai pertelingkahan politik BN-PN menyebabkan kepentingan serta masa depan rakyat Negeri Sembilan terus terabai," katanya.
PHNS menegaskan pendiriannya sejak awal kekal konsisten untuk menjunjung kedaulatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta menghormati kedudukan dan kewibawaan Institusi Undang Yang Empat yang sah di luak masing-masing.
Jelasnya, pendirian itu selaras dengan adat, undang-undang dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, selain berpaksikan prinsip kedaulatan institusi diraja, keluhuran perlembagaan dan kestabilan negeri.
"Rakyat Negeri Sembilan semakin bosan dengan pertelingkahan, percanggahan kenyataan dan sandiwara politik yang tidak berkesudahan.
"Segala tindakan dan keputusan yang berlaku sepanjang kemelut ini akan terus menjadi penilaian rakyat terhadap keupayaan BN-PN memikul amanah pemerintahan," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

