Bapa belasah anak perempuan mengaku salah

Gambar hiasan - Foto Sumber Internet
Gambar hiasan - Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bapa mengaku salah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menganiaya serta melakukan kecederaan terhadap anak perempuannya minggu lalu di kediamannya di Setapak Jaya.

Tertuduh, seorang tukang paip berusia 52 tahun membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan pada 14 April lalu jam 8 malam, bapa berkenaan didakwa menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun 9 bulan di sebuah rumah di Setapak Jaya Kuala Lumpur, dengan cara menumbuk ke arah muka, menarik rambut dan mencekik leher.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh juga boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi.

Annur Atiqah juga mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah dan memberitahu mampu membayar RM1,000 sahaja kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga yang turut menyara isteri yang tidak bekerja dan empat anak.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei depan bagi menyediakan fakta kes sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.