Pentaksiran tamat, apa tindakan seterusnya?

BAYANGKAN seorang murid Tahun Empat duduk di dalam kelas, pensel di tangan dan kertas soalan di atas meja.
Selama lebih satu jam, dia bukan sekadar menjawab soalan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik atau Sains, tetapi secara tidak langsung sedang ‘memberitahu’ sistem pendidikan sejauh mana penguasaannya terhadap asas pembelajaran.
Namun, apabila masa menjawab tamat dan pensel diletakkan, persoalan lebih besar sebenarnya baru bermula.
Inilah yang membezakan Matriks Pembelajaran Tahun Empat daripada peperiksaan yang sekadar mengejar gred.
Kira-kira 400,000 murid Tahun Empat di seluruh negara menduduki pentaksiran itu bagi kohort pertama pelaksanaannya.
Ia melibatkan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, manakala murid Sekolah Jenis Kebangsaan turut menduduki Bahasa Cina atau Bahasa Tamil.
Bagaimanapun, jangan tersilap tafsir. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pentaksiran itu bukan peperiksaan berisiko tinggi yang menentukan masa depan murid.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 pada Januari lalu berkata, pendekatan itu bertujuan mengenal pasti tahap penguasaan murid lebih awal bagi membolehkan intervensi bersasar.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek pula menegaskan, Matriks Pembelajaran bukan untuk menghidupkan semula budaya ‘ranking’ atau penarafan sekolah, sebaliknya memberi tumpuan kepada sokongan dan intervensi awal.
Bayangkan seorang murid memperoleh keputusan sederhana dalam Matematik. Sebelum ini, angka itu mungkin hanya dilihat sebagai markah.
Melalui Matriks, angka itu sepatutnya menjadi petunjuk. Adakah murid itu lemah dalam operasi asas? Sukar menjawab soalan penyelesaian masalah? Atau sebenarnya memahami konsep tetapi kurang yakin menjawab?
Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP), KPM, Ab Aziz Mamat berkata, data yang diperoleh boleh digunakan sekolah untuk merancang intervensi bersesuaian.
Lebih penting, keputusan Matriks tidak digunakan untuk membandingkan antara murid atau sekolah.
Maknanya, murid yang mendapat markah rendah tidak sepatutnya dilabel sebagai ‘lemah’. Sebaliknya, mereka yang memerlukan sokongan dapat dikenal pasti lebih awal untuk dibantu.
Menariknya, skrip jawapan diperiksa oleh guru mata pelajaran sendiri berdasarkan skema Lembaga Peperiksaan, selain melalui proses moderasi dan verifikasi.
Pendekatan itu membolehkan guru mengenal pasti sendiri tahap penguasaan, kekuatan dan kelemahan murid masing-masing.
Persoalannya, apa tindakan selepas itu? Murid yang memerlukan sokongan boleh diberikan intervensi di Tahun Lima dan Enam sebelum kelemahan semakin sukar ditangani.
Bagi ibu bapa pula, Matriks perlu dilihat sebagai cermin pembelajaran anak, bukannya papan kedudukan.
Jika anak kurang menguasai sesuatu kemahiran, keputusan itu boleh menjadi titik mula untuk berbincang dengan guru, bukannya alasan untuk memarahi atau membandingkan mereka dengan rakan lain.
Matriks Pembelajaran Tahun Empat juga tidak sepatutnya berakhir apabila keputusan diedarkan. Kertas yang dijawab dan data yang dikumpulkan perlu diterjemahkan kepada tindakan.
KPM menyatakan dapatan pentaksiran boleh membantu mengenal pasti jurang pembelajaran pada peringkat nasional, termasuk perbezaan mengikut lokaliti, selain membantu merancang dasar pendidikan berasaskan bukti.
Pentaksiran itu juga menjadi sebahagian daripada reformasi pendidikan di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang menekankan usaha merapatkan jurang, meningkatkan mutu pendidikan dan memastikan murid mendapat sokongan mengikut keperluan.
Jadi, apabila kira-kira 400,000 murid Tahun Empat selesai menjawab soalan pada Oktober ini, tugas sistem pendidikan sebenarnya belum selesai.
Kejayaan Matriks bukan sekadar pada keputusan yang diperoleh, tetapi sejauh mana data itu diterjemahkan kepada tindakan dan berapa ramai murid akhirnya berjaya dibantu.
*Qurratul Aina Quddus ialah wartawan Sinar Bestari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

