Rakyat mahu rasa, bukan sekadar dengar

HARI ini, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan Madani Kelima (Belanjawan 2027), fokus utama yang paling dituntut oleh rakyat Malaysia ialah menangani tekanan kos sara hidup dan memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik.
Bagi rakyat biasa, istilah pertumbuhan ekonomi, pelaburan strategik, transformasi digital dan kecerdasan buatan mungkin kedengaran hebat. Namun di hujung bulan, persoalannya tetap sama.
Cukupkah gaji? Mampukah membayar sewa atau ansuran rumah? Berapa harga barang dapur? Mampukah anak terus belajar? Selepas semua bil dibayar, masih adakah wang untuk disimpan? Itulah ukuran paling mudah terhadap sesebuah belanjawan.
Rakyat memahami kerajaan perlu mengurus ekonomi dengan cermat. Subsidi mesti sampai kepada yang layak dan perbelanjaan negara tidak boleh melebihi kemampuan tanpa batas. Namun, pembaharuan dasar jangan sampai sekadar memindahkan beban daripada kerajaan kepada rakyat.
Sebab itu Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tetap penting, terutama bagi keluarga berpendapatan rendah. Persoalannya, adakah nilainya masih memadai apabila harga makanan, sewa dan keperluan harian semakin menekan?
Bantuan tunai boleh melegakan, tetapi bukan penyelesaian segala masalah. Rakyat juga memerlukan harga barang yang terkawal, persaingan pasaran yang sihat dan penguatkuasaan terhadap pihak yang mengambil kesempatan.
Lebih penting, pendapatan mesti mampu mengejar kos kehidupan. Pertumbuhan ekonomi tidak banyak maknanya jika keuntungan syarikat meningkat, sedangkan gaji pekerja terus ketinggalan.
Sebab itu isu gaji minimum menuntut keseimbangan. Pekerja mahu pendapatan lebih baik, tetapi majikan kecil pula bimbang kenaikan kos memaksa mereka menaikkan harga atau mengurangkan pekerja. Belanjawan perlu menjawab kedua-dua kebimbangan ini.
Pelaburan berbilion ringgit juga mesti melahirkan pekerjaan berkualiti, bukan sekadar angka pelaburan yang mengagumkan. Program latihan dan TVET hanya bererti apabila anak muda mempunyai laluan kerjaya jelas, gaji setimpal dan peluang untuk maju.
Golongan pertengahan juga tidak wajar terlepas pandang. Ramai tidak layak menerima bantuan tertentu, namun perlu menanggung ansuran rumah, kos pengangkutan, penjagaan anak dan persekolahan. Pendapatan nampak selesa di atas kertas, tetapi baki sebenarnya semakin mengecil.
Peniaga kecil pula bukan hanya memerlukan modal. Mereka mahu geran mudah dimohon, pembiayaan munasabah dan birokrasi dikurangkan. Golongan yang mahu berniaga jangan sampai terpaksa bergantung kepada pinjaman tidak berlesen kerana sukar mengakses bantuan rasmi.
Bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU), kemajuan perlu dilihat melalui kebajikan, akses kemudahan serta peluang hidup bermaruah, bukan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata.
Di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman, harapannya mungkin lebih asas: jalan selamat, air bersih, elektrik stabil dan internet yang boleh diharap. Perkara biasa bagi orang bandar masih menjadi perjuangan harian sebahagian penduduk luar bandar.
Belanjawan yang baik bukan sekadar memperkenalkan skim baharu, tetapi memastikan bantuan sedia ada mudah diakses, dilaksanakan tanpa ketirisan dan dinilai berdasarkan hasilnya. Pengumuman besar tidak bermakna jika proses permohonan rumit atau peruntukan lambat sampai kepada penerima.
Semua ini mengingatkan kita bahawa belanjawan tidak boleh diukur melalui saiz peruntukan sahaja. Bantuan bertambah tetapi harga terus naik, rakyat tetap terhimpit. Pelaburan melonjak tetapi gaji rendah, anak muda tetap sukar membina masa depan.
Begitu juga jika pembangunan rancak di bandar, tetapi kemudahan asas di kampung masih ketinggalan. Siapa sebenarnya menikmati pertumbuhan ekonomi yang dibanggakan?
Rakyat tidak menuntut semuanya percuma. Mereka cuma mahukan ruang bernafas, peluang untuk maju dan keyakinan bahawa kerja keras mampu menjamin kehidupan lebih baik.
Petang ini, mungkin akan diumumkan pelbagai angka besar. Tetapi selepas tepukan reda dan tajuk berita bertukar, rakyat akan kembali ke pasar, kedai makan, pejabat, kilang, kampung dan jalan raya.
Di situlah Belanjawan 2027 akan benar-benar diuji. Bukan pada berapa banyak yang diumumkan, tetapi berapa banyak yang akhirnya dirasai!
* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

