Super El Nino ancam jelapang padi negara

Fenomena Super El Nino dijangka membawa cuaca lebih panas dan kering dari November hingga April 2027 tidak boleh dipandang ringan
Fenomena Super El Nino dijangka membawa cuaca lebih panas dan kering dari November hingga April 2027 tidak boleh dipandang ringan
A
A
A

ANCAMAN fenomena Super El Nino dijangka membawa cuaca lebih panas dan kering dari November hingga April 2027 tidak boleh dipandang ringan khususnya di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), antara tunjang pengeluaran padi negara.

Kebimbangan itu bukan sekadar bersandarkan ramalan cuaca, malah turut didorong kebergantungan sektor penanaman padi terhadap sumber air daripada empangan, hujan dan sistem pengairan yang memerlukan pengurusan berterusan bagi memastikan bekalan air mencukupi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini berkata, fenomena berkenaan berpotensi menjejaskan paras air empangan termasuk Empangan Ahning di Kedah yang dilaporkan berada pada tahap amaran dan berjaga-jaga.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan fenomena yang berada pada tahap kuat berpotensi meningkat kepada kategori sangat kuat antara November hingga Januari 2027, meningkatkan risiko pengurangan taburan hujan sehingga 40 peratus bagi Januari hingga Mac 2027, khususnya di utara Semenanjung.

Kawasan Muda yang menyumbang kira-kira 40 peratus kepada pengeluaran padi negara tidak boleh memandang ringan ancaman tersebut kerana gangguan bekalan air berpotensi menjejaskan jadual pe-nanaman, pertumbuhan padi dan seterusnya hasil tuaian pesawah.

Kebimbangan dalam kalangan pesawah di kawasan Muda terhadap fenomena tersebut turut tular di media sosial baru-baru ini, sehingga mencetuskan cadangan menangguhkan penanaman padi bagi musim ini.

Bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan masih terdapat ruang memperkukuh kesiapsiagaan apabila data MADA setakat 2 November merekodkan peningkatan simpanan air di tiga empangan kepada 48.55 peratus berbanding 40.13 peratus pada 13 Oktober lalu.

Peningkatan itu melegakan, namun tidak bermakna ancaman. Sebaliknya, pengurusan sumber air perlu diperkukuh memandangkan keadaan cuaca dan taburan hujan boleh berubah sepanjang tempoh fenomena berkenaan.

Sebelum ini, MADA melaporkan pengoperasian 117 pam guna semula bagi memanfaatkan sumber air dalam sistem saliran dan sungai, selain operasi pembenihan awan serta pemantauan menerusi sistem telemetri.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan langkah pengurusan sumber air secara bersepadu, penggunaan sistem pengairan pintar dan kaedah alternatif penanaman padi yang diumumkan dapat dilaksanakan secara berkesan di lapangan.

Lebih penting, pesawah perlu dibekalkan maklumat awal berkaitan jadual pengairan, bekalan air dan risiko perubahan musim bagi membolehkan mereka merancang aktiviti penanaman dengan lebih teratur serta mengurangkan risiko kerugian.

Ancaman itu juga perlu dilihat lebih luas memandangkan negara masih berdepan cabaran keterjaminan makanan dan kebergantungan terhadap bekalan luar.

Justeru, persediaan menghadapi Super El Nino tidak seharusnya tertumpu kepada tindakan apabila paras air empangan mula menyusut, sebaliknya perlu dilaksanakan lebih awal secara terancang dan menyeluruh.

Kerajaan harus menyediakan pelan kontingensi yang jelas dan menyeluruh, merangkumi keutamaan agihan air, bantuan kepada pesawah terjejas serta penggunaan teknologi bagi mengoptimumkan sumber air tersedia.

*Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!