Sekolah bukan sekadar mengejar prestasi

DALAM dunia pendidikan, pencapaian akademik sering menjadi ukuran paling mudah untuk melihat kejayaan seseorang murid.
Berapa A yang diperoleh? Berapa tinggi markah peperiksaan? Sekolah mana mencatat keputusan terbaik? Soalan-soalan itu memang penting. Namun ada satu perkara yang tidak boleh diletakkan di belakang iaitu kesejahteraan murid.
Angka 5,681 kes buli yang dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sepatutnya membuatkan kita berhenti seketika dan melihat pendidikan daripada sudut yang lebih luas.
Kes berkenaan merangkumi buli fizikal, lisan, bukan lisan dan siber. Lebih membimbangkan, angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana ada kes yang tidak dilaporkan. Buli bukan sekadar isu disiplin!
Bagi murid yang menjadi mangsa, pengalaman itu boleh menjejaskan rasa selamat, keyakinan diri dan kesejahteraan emosi mereka.
Malah, apabila seseorang murid mula berasa takut untuk ke sekolah, persoalannya bukan lagi tentang pencapaian akademik tetapi apakah yang sedang kita lakukan untuk memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat yang selamat?
Murid perlu hadir ke sekolah untuk belajar tanpa rasa takut. Mereka juga perlu mempunyai ruang untuk bertanya, melakukan kesilapan, berkawan dan membina keyakinan diri tanpa sentiasa merasakan mereka perlu menjadi ‘sempurna’.
Dalam mengejar kecemerlangan, jangan sampai tekanan prestasi membuatkan kita terlupa bahawa setiap murid ialah manusia yang mempunyai emosi, kebimbangan dan cabaran tersendiri.
Sebab itu, peranan guru dan ibu bapa tidak boleh berhenti pada soalan, “Berapa markah kamu dapat?” Tanyakan juga, “Kamu okey?”
Perhatikan perubahan tingkah laku. Dengar apabila mereka mahu bercerita. Jangan tunggu sehingga masalah menjadi besar baru kita mahu mengambil tahu.
Pada masa sama, kes buli tidak boleh disembunyikan semata-mata kerana bimbang imej sekolah tercalar. Tindakan pantas dan tegas penting supaya keselamatan serta kebajikan murid tidak dikorbankan demi reputasi.
Sekolah hebat bukan hanya menghasilkan ramai murid cemerlang. Sebaliknya, ia mampu membuatkan murid berasa selamat, dihargai dan didengari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
