Dalam memerangi Covid-19, jangan lupa ancaman denggi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketika ini, apa sahaja isu kesihatan berkaitan dengan penularan virus maut yang membawa penyakit Covid-19 bukan sahaja menjadi tumpuan dan kerisauan masyarakat negara ini bahkan juga seluruh dunia.

Kebimbangan ini berasas kerana wabak yang menyerang lebih 200 buah negara dan wilayah seantero dunia ini disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai ujian paling getir sejak meletusnya Perang Dunia Kedua. Selain meragut ratusan ribu nyawa, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) membuat unjuran, dunia dijangka mengalami penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan ‘The Great Depression’ yang berlaku pada 1930-an.

Bagi Malaysia yang tidak terkecuali turut berdepan dengan serangan wabak tersebut, fokus masyarakat terhadap penyakit ini mula menjadi perbualan hangat sebaik memasuki gelombang kedua Covid-19 pada penghujung Februari lepas biarpun hakikatnya pesakit Covid-19 mula dikesan di negara ini pada penghujung Januari 2020.

Apa jua berita mengenai Covid-19, pasti mendapat perhatian masyarakat dan pengumuman terkini mengenai kes jangkitan terbaharu, kes yang sembuh dan angka kematian di negara ini oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sentiasa dinantikan ramai.

Mungkin boleh dikatakan, masyarakat kurang memberi perhatian kepada isu kesihatan penyakit lain pada masa ini kerana sebahagian besar tumpuan diberikan kepada Covid-19.

Sehubungan dengan itu, Profesor Madya Dr Rozita Hod, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengingatkan masyarakat supaya jangan lupa akan bahaya penyakit denggi.

Sepertimana penyakit Covid-19 yang belum ada rawatan tertentu bagi penyembuhannya, begitu jugalah dengan penyakit denggi yang masih lagi belum ada penawarnya sehingga ke hari ini walaupun kes penyakit ini dilaporkan sudah dikesan seawal sekitar 1902 lagi.

Antara Covid-19 dan denggi

Artikel Berkaitan:

“Ketika kita sedang sibuk mengenai isu kesihatan Covid-19, penyakit bawaan nyamuk Aedes betina daripada spesies albopictus dan aegypti yang dijangkiti virus denggi juga meningkat seiring dengan Covid-19.

“Denggi seperti kita sedia maklum juga sangat berbahaya kerana berdasarkan rekod sebelum ini, ia turut meragut nyawa, tidak ada ubat dan langkah terbaik hanyalah melalui pencegahan dengan menjaga kebersihan persekitaran.

“Biarpun ia bukanlah baharu kerana saban tahun kita berhadapan polemik denggi, cuma saya risau ketika kebanyakan orang sibuk dengan Covid-19, ada yang mula lupa pada ancaman gigitan maut nyamuk berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Merujuk laman sesawang http://idengue.arsm.gov.my/, jumlah kes denggi terkumpul dari 29 Disember 2019 sehingga 7 April 2020 berdasarkan sumber daripada Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan CPRC, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah sebanyak 35,847 kes.

Daripada jumlah itu, enam negeri mencatatkan jumlah kes paling tinggi iaitu Selangor sebanyak 21,851 kes, diikuti Johor 2,881, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2,627, Sabah 1,956, Kelantan 1,366 dan Perak 1,112.

Dari segi kematian dari Januari hingga 4 April 2020, seramai 58 orang maut akibat denggi.

Menurut Dr Rozita, biarpun jumlah kematian Covid-19 adalah lebih tinggi daripada denggi iaitu setakat 15 April seramai 83 orang, namun jangan ambil remeh dengan bahaya denggi kerana jumlah kes penyakit bawaan nyamuk itu adalah lebih tinggi daripada wabak berkenaan.

“Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,072 kes sehingga jam 12 tengah hari 15 April, jumlah kes denggi dari 29 Dis sehingga 7 April sudah melebihi 30,000 kes.

“Memang bukan semua kes denggi dirawat di hospital kerana hanya yang disyaki demam denggi berdarah saja akan berada di wad. Manakala yang bukan demam denggi berdarah akan diberi ubat demam dan perlu sentiasa datang ke klinik kesihatan berhampiran untuk pemantauan.

“Namun, keadaan ini pastinya akan menambahkan lagi tugas doktor dan jururawat yang kita sedia maklum sedang bertungkus-lumus berjuang merawat pesakit Covid-19. Kesesakan juga akan berlaku di hospital sekiranya seseorang itu disahkan menghidap denggi berdarah,” katanya.

Duduk rumah, boleh denggi?

Oleh yang demikian, amatlah penting bagi setiap daripada kita mengambil langkah pencegahan dan masyarakat perlu diingatkan sepanjang masa akan hal ini.

Ini kerana meskipun penyakit bawaan nyamuk ini sudah lama berakar umbi di negara ini, namun masih ada lagi yang memandang remeh terhadap ancamannya.

Cukup-cukuplah ambil mudah akan kepentingan pencegahan memandangkan keadaan cuaca akhir-akhir ini sering mengundang hujan pada petang hari dan sebenarnya sangat berisiko meningkatkan lagi habitat populasi vektor berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia,) Jailan Simon dalam satu laporan media menyatakan bahawa negara ketika ini sedang menghadapi tempoh peralihan monsun sekali gus bermaksud tempoh monsun timur laut sudah berakhir dan kini akan berubah ke monsun barat daya.

Semasa fasa peralihan monsun tersebut, boleh dijangkakan ribut petir serta hujan lebat dengan angin kencang dalam jangka masa singkat. Keadaan ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak.

Mengulas mengenai keadaan cuaca ini, Dr Rozita berkata, di sebalik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memerlukan semua masyarakat duduk di rumah dan keluar sekiranya ada keperluan penting sahaja, ini tidak bermakna boleh terselamat daripada wabak denggi.

Ini kerana penyakit bawaan nyamuk itu masih lagi boleh menyerang sesiapa sahaja, pada bila-bila masa termasuklah ketika PKP, sekiranya ada lagi yang leka akan kepentingan penjagaan kebersihan persekitaran.

“Kebiasaannya kadar pembiakan nyamuk Aedes tinggi semasa hujan kerana ketika itulah akan adanya air bertakung yang merupakan habitat populasi vektor berkenaan. Jadi, janganlah beranggapan duduk di rumah sahaja sudah cukup selamat atau perisai terbaik terhindar daripada denggi.

“Mungkin ada beranggapan rumah bersih tidak akan datangnya nyamuk aedes. Tetapi, jangan lupa bahawa vektor itu hanya akan membiak pada air bersih dan bukannya kawasan kotor seperti air larut resap,” katanya.

Aktif

Dr Rozita memberitahu penulis, peningkatan curahan air hujan ketika ini boleh menjadi antara faktor pembiakan nyamuk aedes.

Beliau menjelaskan, curahan air hujan boleh bertakung di mana-mana kawasan sudut rumah sama ada dalam bekas kosong, pasu bunga, tayar lama, kasut mahupun saliran atap sekali gus menjadi tempat pembiakan nyamuk tanpa kita sedari.

Apatah lagi, ketika ini kebanyakan anak-anak dan ibu bapa menggunakan masa yang ada sepanjang PKP untuk beriadah mahupun bermain di laman rumah (bagi mereka yang rumah bukan strata) dan sekiranya tidak dikemas balik permainan kanak-kanak mungkin akan jadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Kanak-kanak menggunakan masa ini untuk bermain di laman. Pelbagai jenis permainan termasuklah kolam renang mini plastik kalau tak disimpan dengan baik biarpun air yang ada dah dibawa keluar, ia boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Kajian ada menunjukkan penutup botol air galian yang kecil itu pun boleh terjumpanya jentik-jentik kerana ada air bertakung. Asalkan ada tempat sikit pun misalnya macam plastik sampah yang kita sudah ikat elok tetapi letak di luar rumah disebabkan tong sampah penuh, juga boleh jadi pembiakan vektor itu.

“Ini kerana struktur plastik tersebut yang tidak menyerap air membuatkan ada sesetengah kawasan pada plastik itu boleh menjadi tempat takungan air,” katanya.

Difahamkan, waktu aktif nyamuk aedes adalah antara jam 5.30 pagi hingga 8 pagi dan 5.30 petang hingga 8 malam iaitu masa kebanyakan anggota masyarakat melakukan aktiviti riadah (sebelum PKP).

10 minit?

Bagi yang tinggal di rumah bertingkat pula, jangan ingat mereka tidak akan diserang penyakit denggi biarpun berada di dalam rumah.

Ini kerana vektor berkenaan boleh masuk di celah-celah pintu mahupun tingkap terbuka dan bertelur di kawasan air bertakung seperti pasu bunga, tong air yang tidak bertutup dan sebagainya.

Difahamkan, kitaran hidup nyamuk aedes bermula daripada telur sehingga dewasa hanyalah mengambil masa kira-kira seminggu sahaja.

“Gunakanlah masa PKP ini untuk menghapuskan semua tempat takungan air yang boleh menjadi sarang pembiakan nyamuk di sekeliling rumah.

“Untuk membersihkannya, bukan hanya membuang airnya sahaja tetapi dinding bekas perlu diberus untuk membuang telur atau menyiram dengan air panas yang suhunya lebih 80 darjah celsius bagi membunuh telur tersebut.

“Tidak susah, hanya 10 minit sahaja. Kena rajin sebab dibimbangi kalau diserang denggi berdarah, golongan seperti warga emas, kanak-kanak dan wanita hamil mempunyai risiko komplikasi lebih tinggi,” kata Dr Rozita. - Bernama