KKM pertimbang lakukan saringan rawak dalam komuniti

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan cadangan untuk menjalankan kajian mengesan kadar jangkitan Covid-19 dalam komuniti melalui saringan secara rawak menggunakan kit ujian pantas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kit ujian tersebut dapat mengukur antibodi Immunoglobulin G (IgG) atau Immunoglobulin M (IgM) daripada setitik darah.

Menurutnya, antibodi itu akan terbina sekiranya komuniti terbabit terdedah kepada Covid-19 dalam tempoh seminggu.

“Sekarang ini kita lihat memang ada taburan kumulatif di kes zon merah, zon hijau dan sebagainya.

“Kalau kita nak tahu berapa ramai di zon merah contohnya telah dijangkiti dan tidak dikesan, jadi mungkin ini satu kajian yang baik dan boleh dipertimbangkan. Mungkin masa sesuai untuk kita menjalankan ujian tersebut.

“Ujian ini akan menggunakan ujian test kit bukan untuk mengesan atau dignosis tetapi untuk mengetahui berapa ramai daripada di kalangan komuniti yang telah dijangkiti tetapi tidak dikesan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Bagi melaksanakan perkara tersebut, beliau berkata, KKM memerlukan kerjasama klinik swasta bagi mengumpulkan data terkini untuk tindakan susulan.

Sebelum ini Pakar Virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar menegaskan KKM perlu mengetahui kadar jangkitan Covid-19 dalam komuniti sebelum PKP ditamatkan.

Menurutnya. kadar jangkitan dalam komuniti boleh diukur menerusi saringan bagi mengesan antibodi terhadap sejumlah orang awam secara rawak dari seluruh negara.
Artikel Berkaitan:


“Menerusi pengesanan ini, KKM dapat mengetahui peratusan individu positif Covid-19 dalam komuniti namun tidak bergejala serta kemungkinan ia berjangkit semula selepas PKP ditamatkan,” katanya.