Erdogan sampaikan takziah kepada Anwar, Tun Dr Mahathir

Anwar berbual melalui telefon dengan sahabat beliau yang juga Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan. Foto: Facebook Anwar Ibrahim
Anwar berbual melalui telefon dengan sahabat beliau yang juga Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan. Foto: Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pemergian abangnya, Allahyarham Idrus Ibrahim, dalam perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin itu hari ini.

Anwar berkata, Erdogan turut menitipkan salam takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian isteri beliau, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

"Ingatan dan doa beliau amat bermakna buat kami sekeluarga dalam saat yang berat ini,” katanya menerusi hantaran di X pada Selasa.

Anwar berkata, beliau dan Erdogan turut bertukar pandangan mengenai beberapa isu semasa yang menjadi perhatian bersama, namun tidak memperincikan perkara yang dibincangkan.

Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara pagi semalam pada usia 100 tahun.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada jam 6.20 petang semalam dengan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

Idrus, 83, pula meninggal dunia ketika tidur di kediamannya di Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam pada jam 6.10 petang, 24 September lepas dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheruk Tok Kun Bawah, keesokan harinya.

Allahyarham merupakan bekas guru besar dan meninggalkan seorang isteri, empat anak serta 10 cucu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!