Jepun rakam ucapan takziah atas pemergian Tun Dr Hasmah

KUALA LUMPUR - Jepun merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian isteri, Tun Dr Hasmah Mohd Ali.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi tadi.
"Kedutaan Jepun mengucapkan takziah kepada Dr Mahathir dan ahli keluarganya. Kami juga menitipkan doa dan semoga beliau bersemadi dengan tenang," Duta Besar Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki memberitahu Bernama.
Duta besar itu menyampaikan ucapan takziah ketika ditemui pada Ekspo Perindustrian & Inovasi Malaysia-Jepun (MJII) 2026 di UTM Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun Malaysia (JACTIM) Hiromitsu Narukama, yang hadir pada majlis itu, turut meluahkan rasa simpati kepada Dr Mahathir dan keluarga.
Narukama, yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd, berkata Dr Siti Hasmah telah menyokong Dr Mahathir dan mengambil bahagian dalam kerjasama dan dialog antarabangsa.
Dr Mahathir yang berkhidmat sebagai perdana menteri Malaysia, dari 1981 hingga 2003 dan sekali lagi dari 2018 hingga 2020, memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Jepun apabila beliau memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur pada 1982, mengambil iktibar daripada pengalaman Jepun untuk memacu perindustrian Malaysia.
Dasar yang menjadi tunjang hubungan Malaysia-Jepun itu diteruskan hari ini sebagai Dasar Pandang Ke Timur 2.0. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
