Sanusi zahir takziah, kenang bakti Tun Dr Hasmah di Kedah

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga atas pemergian isterinya, Tun Dr Hasmah Mohd Ali pada pagi Isnin.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berita pemergian Allahyarham yang merupakan tokoh dalam bidang perubatan dan kesihatan awam itu mendukacitakan, khususnya kepada rakyat yang pernah menerima khidmat dan bakti beliau.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Kedah, saya merakamkan ucapan takziah kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian insan yang begitu besar jasanya kepada negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Muhammad Sanusi, Allahyarham mempunyai hubungan yang begitu dekat dengan Kedah selepas pernah berkhidmat di negeri itu sebagai doktor perubatan dan penjawat awam.
Katanya, sepanjang berkhidmat dalam bidang kesihatan awam, Allahyarham mencurahkan bakti khususnya dalam usaha mempertingkat kesihatan ibu dan anak serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.
“Jasa dan sumbangan Allahyarham kepada rakyat Kedah bukan sekadar tercatat dalam sejarah perkhidmatan kesihatan negeri, malah terpahat dalam ingatan masyarakat yang pernah menerima khidmat dan bakti beliau,” ujarnya.
Muhammad Sanusi berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada negara, khususnya mereka yang mengenali dan pernah merasai khidmat serta keprihatinan beliau.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat dan keampunanNya serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

