Warga asing ingkar PKP punca kenaikan jumlah tangkapan

Muhammad Yazid
Muhammad Yazid
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 1,400 warga asing menjadi penyumbang kenaikan jumlah tangkapan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor bagi tempoh 18 Mac sehingga semalam.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, sehingga kini keseluruhan tangkapan ialah 3,431 dan daripada jumlah itu sebanyak 1,573 kertas siasatan telah dibuka.

Beliau berkata, polis menerima 2,771 laporan bagi PKP fasa ketiga dan 82 tangkapan dilakukan semalam melibatkan warga asing.

"Selain itu, lokasi sekatan jalan raya di Selangor juga ditambah menjadi 101 membabitkan 45,669 pemeriksaan kenderaan da sebanyak 3,084 pemeriksaan snap check dilakukan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Pada sidang akhbar sama beliau memberitahu, sebanyak empat penerbangan masuk membawa pulang 174 rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) direkodkan semalam iaitu dari Jakarta (Indonesia), Doha (Qatar), Shanghai (China) dan Hong Kong.

Mengulas mengenai indeks jenayah, bermula 1 Januari sehingga semalam sebanyak 4,675 kes dicatatkan sekali gus menunjukkan penurunan 18.31 peratus berbanding tahun lalu iaitu 5,723 kes bagi tempoh yang sama.

"Jenayah kekerasan tahun ini merekodkan 995 kes dengan menunjukkan penurunan 297 kes, jenayah harta benda juga merekodkan penurunan 751 kes selepas mencatat 3,680 kes. Bagi jenayah jalanan pula mencatatkan 622 kes berbanding tahun lalu dengan 866 kes sekali gus penurunan 244 kes atau 28.18 peratus," katanya.

Justeru, Polis Selangor akan terus perketatkan pemeriksaan jalan raya dan snap check selain tindakan tegas kepada individu yang melanggar PKP di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diingatkan mematuhi PKP dalam usaha kerajaan membendung wabak Covid-19. Polis tidak sewenangnya-wenangnya membuat tangkapan sepanjang PKP, tetapi sebagai usaha kami melindungi masyarakat," katanya.