Penipuan jualan topeng muka cecah RM4.2 juta: Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA – Jumlah kerugian akibat penipuan penjualan topeng muka dianggarkan mencecah RM4.2 juta ketika ini susulan permintaan tinggi akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, modus operandi penipuan itu dilakukan melalui sosial media dan juga secara bersemuka.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kes-kes penipuan penjualan topeng muka ini.

“Selaras dengan itu, PDRM akan mengambil tindakan tegas dan meminta orang ramai supaya lebih berwaspada,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, orang ramai juga turut dinasihatkan supaya membuat semakan akaun bank penjual dahulu sebelum membuat pembayaran.

“Semakan boleh dibuat menerusi portal ‘Semakmule’Jabatan Siasatan Jenayah Komersial atau status penjual dalam talian di laman web www.biztrust.ssm.com.my,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan semalam, PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 229 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19 berbanding 220 kertas siasatan pada hari sebelumnya.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 161 masih dalam siasatan manakala 24 kes telah didakwa di mahkamah dan 13 telah mengaku salah.

Artikel Berkaitan: