DUN Perak lulus Enakmen Saraan 2026

Saarani ketika menggulung perbahasaan RUU Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 2026 sempena sempena Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di sini pada Selasa.
Saarani ketika menggulung perbahasaan RUU Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 2026 sempena sempena Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa meluluskan sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 2026.

RUU berkenaan dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum dibahaskan Ong Boon Piow (PH-Bercham) selaku penyokong usul dan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik) mewakili pembangkang.

Ketika membentangkan RUU itu, Saarani berkata, penggubalan enakmen baharu berkenaan bertujuan memodenkan, menyusun semula dan memperkemas peruntukan berkaitan saraan Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri.

Menurutnya, enakmen sedia ada telah berkuat kuasa sejak 1980 dan melalui 13 kali pindaan, justeru kerajaan negeri berpandangan sudah tiba masanya ia digubal semula supaya lebih jelas, teratur serta selaras dengan kaedah penggubalan undang-undang semasa.

“Secara keseluruhannya, penggubalan RUU ini bukanlah bertujuan untuk mengubah keseluruhan dasar dan kerangka saraan yang sedia ada.

“Sebaliknya, sebahagian besar penambahbaikan yang dibuat bersifat pemodenan, penyusunan semula dan penjelasan peruntukan undang-undang, di samping beberapa pindaan tertentu bagi memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Saarani berkata, proses semakan bermula pada 2025 menerusi beberapa siri bengkel dan perbincangan melibatkan pelbagai pihak termasuk ADUN kerajaan dan pembangkang serta dua bekas ADUN.

Katanya, antara penambahbaikan dipersetujui ialah menaikkan kadar maksimum pencen bulanan daripada 50 kepada 60 peratus daripada gaji selepas mengambil kira pandangan dalam sesi libat urus serta perbandingan dengan Parlimen dan beberapa negeri.

"Parlimen Malaysia, Pulau Pinang, Johor dan Selangor memperuntukkan kadar maksimum pencen sebanyak tiga perlima atau 60 peratus daripada gaji," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penambahbaikan lain termasuk memasukkan jawatan Timbalan Yang Dipertua DUN dalam tafsiran ‘Ahli’ serta mewujudkan peruntukan khusus berkaitan elaun Ketua Pembangkang.

Pada masa sama, formula pengiraan pencen dan ganjaran sedia ada pada asasnya dikekalkan, begitu juga kadar faedah akibat kemalangan.

Ketika menggulung perbahasan, Saarani berkata, enakmen baharu itu membolehkan penambahbaikan terus dibuat dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

“Akan ada dari semasa ke semasa keperluan untuk kita membuat penambahbaikan. Yang paling penting kita dapat memperhalusinya dari semasa ke semasa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!