MoU pemindahan Dara, Amoi, Kelat perlu didedahkan kepada umum

SHAH ALAM - Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan Zoo Tennoji, Jepun berhubung pemindahan tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) perlu didedahkan kepada umum bagi memastikan ketelusan urusan berkenaan.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, kandungan MoU itu wajar didedahkan kerana rakyat berhak mengetahui sama ada proses pemindahan ketiga-tiga gajah berkenaan dilaksanakan mengikut undang-undang dan tatacara yang sewajarnya.
Beliau yang juga Sekretariat Solidariti Bersama DAK berkata, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat urusan pemindahan DAK dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah ke Zoo Tennoji wajar dipuji kerana mampu merungkai pelbagai persoalan berhubung dakwaan ketirisan membabitkan jutaan ringgit.
Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini status MoU yang menjadi asas kepada urusan pemindahan DAK masih menjadi tanda tanya.
"Alasan bahawa MoU adalah dokumen sulit tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyembunyikan fakta atau melindungi mana-mana individu atau pihak yang berkepentingan.
"Budaya kerahsiaan yang tidak munasabah perlu dihentikan, rakyat berhak mengetahui bentuk pulangan atau manfaat sebenar yang diperoleh Malaysia daripada urusan pemindahan hidupan liar ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Choo Seong turut mempersoalkan bagaimana tiga ekor gajah yang berasal dari habitat liar boleh dihantar ke Jepun atas alasan konservasi sedangkan perkara itu didakwa bercanggah dengan piawaian Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar (CITES).
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa MoU antara MPT dan Zoo Tennoji didedahkan kepada umum secara telus.
Beliau turut menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang, supaya membawa usul khas berhubung perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadualkan berlangsung September depan.
Katanya, Exco berkaitan, Sandrea Ng Shy Ching perlu tampil menjelaskan kandungan MoU tersebut serta memperincikan peranan setiap pihak yang terlibat dalam urusan pemindahan berkenaan.
Di peringkat Persekutuan pula, Choo Seong berkata, isu itu perlu dibangkitkan pada sidang Parlimen dengan memberi tumpuan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memandangkan Zoo Taiping berada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan, dan bukannya hanya tertumpu kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
"Rakyat tidak akan berpuas hati selagi segala dokumen transaksi dan perjanjian pemindahan hidupan liar ini tidak didedahkan secara terbuka.
"Jangan biarkan nasib Dara, Amoi dan Kelat menjadi mangsa pemerdagangan serta ketirisan pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

