ADUN Wawasan Ketua Whip Pembangkang Perak

Mohammad Zahir (tengah) memaklumkan tiada sebarang pertukaran tempat duduk ADUN pembangkang sempenanMesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri yang ke-15 Perak Darul Ridzuan yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 8 September ini.
Mohammad Zahir (tengah) memaklumkan tiada sebarang pertukaran tempat duduk ADUN pembangkang sempenanMesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri yang ke-15 Perak Darul Ridzuan yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 8 September ini.
A
A
A

IPOH - Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan) sebagai Ketua Whip Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kekal.

Speaker DUN Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, kedudukan ADUN-ADUN khususnya pembangkang juga tidak berubah.

Menurutnya, ini kerana tiada permohonan diterima setakat ini bagi melakukan perubahan tempat duduk susulan perkembangan politik melibatkan wakil rakyat di Perak.

"Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri yang ke-15 Perak Darul Ridzuan akan berlangsung selama tiga hari bermula 8 September ini.

"Setakat ini tidak ada lagi permohonan untuk menukar tempat duduk kawasan. Setakat hari ini, keadaan masih tenang," katanya ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Pada 18 Jun lalu Sinar Harian melaporkan Zainol Fadzi mengumumkan penyertaannya dalam Wawasan selepas dipecat dan menjadi ADUN bebas.

Zainol Fadzi antara 17 pimpinan yang dipecat Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

Antara wakil rakyat dari Perak yang turut dipecat ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.

Sementara itu, Mohammad Zahir berkata, pada persidangan kali ini terdapat dua rang undang-undang yang akan dibawa pihak kerajaan iaitu Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 2026 serta Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak (Pindaan) 2026.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kedua-dua rang undang-undang ini akan dibawa oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad selain satu usul berkaitan pemilihan ahli Dewan Negara.

Menurutnya, terdapat dua calon yang dikemukakan masing-masing seorang dari Pakatan Harapan (PH) dan seorang lagi dari Perikatan Nasional (PN).

Katanya, PH mencalonkan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri manakala PN menamakan Ketua Dewan Ulama Pas Perak, Ibrahim Zakaria untuk dipilih sebagai Senator.

Pemilihan Ahli Dewan Negara mewakili negeri Perak itu dibuat bagi menggantikan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!