Pembelian 'online' pakaian dalam wanita meningkat sejak PKP

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wanita Malaysia memenuhi kebosanan terkurung di rumah dan mungkin juga sebagai satu cara untuk memberi ganjaran kepada diri mereka sendiri dengan membeli pakaian dalam baharu.

Satu kajian menunjukkan jualan produk tersebut meningkat 900 peratus hanya dalam masa sebulan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain pakaian dalam wanita, serbuk gelatin dan juga kuali merupakan antara produk yang mencatatkan lonjakan jualan dalam talian sejak PKP bermula.

Satu kaji selidik oleh Commerce.Asia Group of Companies (Commerce.Asia), ekosistem teknologi dan penyelesaian data raya e-dagang menyaksikan pertumbuhan Volum Barangan Kasar (GMV) melonjak sebanyak 149 peratus tahun ke tahun dalam suku pertama 2020 sejak PKP bermula.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Commerce.Asia, Ganesh Kumar Bangah dalam satu kenyataan hari ini berkata, e-dagang terus menjadi satu daripada segelintir industri yang berkembang maju dalam tempoh mencabar ini apabila ekosistem itu mencatatkan peningkatan yang sangat menggalakkan pada suku pertama 2020.

Commerce.Asia juga melihat perubahan kekal dalam tingkah laku pengguna, apabila ramai yang menjangka akan terus melakukan pembelian mereka menerusi pasaran digital walaupun selepas PKP ditarik balik.

"Membeli belah dalam talian kini adalah ‘kebiasaan baharu’ memandangkan wabak Covid-19 telah membawa kepada lonjakan perniagaan e-dagang di seluruh dunia apabila orang ramai beralih kepada platform dalam talian.

Artikel Berkaitan:

“Kami melihat pertumbuhan ketara dalam jualan peniaga kami dalam pelbagai kategori produk. Perubahan dalam tingkah laku belian ini menunjukkan rakyat Malaysia sedang menyesuaikan diri kepada situasi kehidupan baharu,” kata Ganesh.

Commerce.Asia memanfaatkan pangkalan datanya untuk menganalisis trend jualan daripada 30 hari sebelum PKP berbanding 30 hari semasa PKP dalam seluruh rangkaian peniaganya dan menyusun senarai kategori produk e-dagang paling pantas berkembang dengan keputusan yang memberangsangkan.

Tingkah laku pembelian pengguna nampaknya memulakan keluk berbeza sejak PKP.

Ketika sebahagiannya ialah pembelian praktikal barangan penting, pembelian lain agak mengejutkan, memandangkan negara sedang menjalani PKP, kata Ganesh.

Jualan barangan penting seperti makanan, peralatan mandian dan produk bayi melonjak seperti yang dijangkakan tetapi apa yang mengejutkan adalah jualan pakaian dalam wanita berada di tangga teratas.

Dengan kesihatan menjadi kebimbangan utama, tidak menghairankan sarung tangan lateks mencatatkan pertumbuhan jualan 888 peratus kerana orang ramai berusaha untuk melindungi diri mereka sendiri daripada virus tersebut.

Jualan peralatan kecergasan rumah juga meningkat sebanyak 200 peratus.

Ganesh berkata, memandangkan permintaan pengguna yang di luar jangkaan menerusi platform dalam talian, peniaga bukan sahaja perlu memenuhi pesanan ini tetapi juga mesti memastikan pengaturan logistik bagi memastikan serahan tepat pada masa.

“Logisik memainkan peranan penting dalam menyokong e-dagang dengan memastikan proses dan penghantaran pesanan yang cekap.

"Selain itu, perkhidmatan logistik dan pengangkutan menyokong rantaian bekalan rantaian penting yang memastikan kesinambungan bekalan harian kepada pengguna,” ujarnya.

Beliau juga menasihati perniagaan e-Dagang melengkapkan diri mereka dan kakitangan mereka dengan sumber yang sesuai bagi menguruskan operasi dari jarak jauh dengan hanya sedikit atau tanpa sebarang gangguan. - Bernama