Gajah DAK: Video Amoi gigit jaring makanan bukan petanda tekanan - MPT

Zoo Tennoji telah mempertingkatkan langkah pengurusan kebajikan dengan menyediakan kawasan teduhan yang mencukupi, kolam mandi dan kawasan berlumpur. Gambar kecil: Mohamed Akmal
Zoo Tennoji telah mempertingkatkan langkah pengurusan kebajikan dengan menyediakan kawasan teduhan yang mencukupi, kolam mandi dan kawasan berlumpur. Gambar kecil: Mohamed Akmal
A
A
A

IPOH - Video yang memaparkan tingkah laku seekor daripada tiga gajah menggigit jaring makanan yang tular di media sosial baru-baru ini tidak boleh ditafsirkan secara langsung sebagai petanda tekanan, kebuluran atau isu kebajikan haiwan berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, jaring makanan adalah antara peralatan pengayaan persekitaran yang digunakan secara meluas di zoo dan pusat pemuliharaan hidupan liar di seluruh dunia, termasuk bagi Amoi, Dara dan Kelat (DAK) yang ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.

Beliau berkata, kaedah itu direka bagi menggalakkan gajah mencari, menarik dan memanipulasi makanan sepertimana tingkah laku semula jadi mereka di habitat liar, selain membantu memanjangkan tempoh makan, merangsang aktiviti fizikal, mental serta mengurangkan kebosanan, sekali gus menyokong kebajikan haiwan.

"Dalam kalangan gajah, adalah perkara biasa untuk haiwan menggunakan belalai, gading atau mulut bagi menarik, menggigit atau memanipulasi peralatan pengayaan ketika mendapatkan makanan. 

"Tingkah laku Amoi dalam video yang tular adalah sebahagian daripada interaksinya dengan peralatan itu dan sentiasa dipantau oleh penjaga haiwan bagi memastikan ia selamat digunakan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Mohamed Akmal berkata, MPT dimaklumkan Jepun kini sedang mengalami musim panas dengan suhu tinggi, justeru Zoo Tennoji telah mempertingkatkan langkah pengurusan kebajikan dengan menyediakan kawasan teduhan yang mencukupi, kolam mandi dan kawasan berlumpur.

Beliau berkata, langkah itu membolehkan gajah menyejukkan badan secara semula jadi, selain penyediaan semburan air secara berkala, bekalan air minuman yang sentiasa mencukupi serta pemantauan kesihatan yang lebih kerap oleh pasukan penjaga haiwan dan pegawai veterinar.

Menurut Mohamed Akmal, rutin harian dan jadual pemberian makanan juga disesuaikan mengikut keadaan cuaca bagi memastikan keselesaan serta kesejahteraan ketiga-tiga gajah itu sentiasa terpelihara.

"Majlis Perbandaran Taiping sentiasa berhubung rapat dengan pihak Zoo Tennoji dan menerima laporan berkala mengenai keadaan ketiga-tiga gajah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama ini memastikan setiap aspek kesihatan, kebajikan, pemakanan dan pengurusan haiwan sentiasa memenuhi standard yang dipersetujui di bawah program kerjasama antara kedua-dua pihak,” katanya.

Mohamed Akmal berkata, ketiga-tiga gajah Asia dari Malaysia itu berada dalam keadaan sihat, aktif dan terus dipantau secara berkala oleh pasukan penjaga haiwan serta pegawai veterinar zoo berkenaan. 

Beliau berkata, berdasarkan laporan terkini yang diterima, ketiga-tiga gajah menunjukkan perkembangan baik dari segi kesihatan, selera makan, tingkah laku dan penyesuaian terhadap persekitaran baharu.

Justeru, Mohamed Akmal berkata, MPT menghargai keprihatinan orang ramai terhadap kebajikan DAK, namun masyarakat disaran supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan rakaman video yang singkat atau tanpa konteks penuh.

"Sebarang maklumat berkaitan keadaan ketiga-tiga gajah itu akan disalurkan berdasarkan laporan rasmi daripada Zoo Tennoji dan hasil pemantauan berterusan oleh kedua-dua pihak.

"MPT kekal komited untuk memastikan kebajikan, kesihatan dan kesejahteraan DAK sentiasa menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan program kerjasama konservasi antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!