NGO desak audit bebas siasat kebajikan DAK di Zoo Tennoji

Dari kiri, Santharasekaran Sunramaniam, Norashikin dan Noraini ketika ditemui di Shah Alam pada Khamis. Foto: ROSLI TALIB
Dari kiri, Santharasekaran Sunramaniam, Norashikin dan Noraini ketika ditemui di Shah Alam pada Khamis. Foto: ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO/NGI) bersama Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM) dan Shelter Ihsan menggesa penubuhan sebuah jawatankuasa audit bebas bagi menyiasat secara menyeluruh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Gesaan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap isu pengabaian kebajikan tiga ekor gajah Asia Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK), yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.

Gabungan itu memaklumkan, tuntutan berkenaan dibuat berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap status kebajikan DAK sepanjang ditempatkan di zoo berkenaan di bawah perjanjian kerjasama konservasi ex-situ selama 25 tahun.

Malah, isu perpindahan hidupan liar terbabit telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat susulan laporan berterusan mengenai status kesihatan, penyesuaian terhadap iklim serta kebimbangan berhubung kaedah pengurusan haiwan di premis berkenaan.

Menurut gabungan itu, ketelusan penuh perlu diberikan kepada orang ramai bagi memastikan hak serta kebajikan tiga ekor gajah terancam itu terus dipelihara, selain menjamin setiap komitmen yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan dilaksanakan sepenuhnya.

Sementara itu, Presiden PERKAM, Profesor Dr Santharasekaran Subramaniam berkata, sebuah badan berkecuali tanpa campur tangan birokrasi perlu dihantar ke Jepun dengan kadar segera bagi menilai sendiri keadaan sebenar DAK.

Beliau berkata, pihaknya menggesa supaya sebuah pasukan pemantau bebas ditubuhkan dengan keanggotaan terdiri daripada doktor veterinar hidupan liar, pakar konservasi bebas dan wakil pertubuhan alam sekitar.

Menurutnya, pasukan itu perlu diberikan akses bagi menilai keadaan semasa DAK secara telus, selain memastikan Zoo Tennoji benar-benar mempunyai keupayaan untuk memenuhi komitmen kebajikan yang dipersetujui.

"Zoo Tennoji perlu membuktikan secara telus kemampuan mereka dan Perhilitan bertanggungjawab memastikan komitmen ini bukan sekadar di atas kertas.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya terbukti wujud elemen paksaan atau pengabaian, memorandum persefahaman (MoU) ini wajib dibatalkan dan DAK mesti dibawa pulang ke tanah air," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Sementara itu, Penasihat Shelter Ihsan, Norashikin Che Omar berkata, pihaknya turut membangkitkan kebimbangan terhadap sejarah dan keupayaan zoo penerima dalam menguruskan kebajikan gajah.

Beliau berkata, rekod lalu menunjukkan Zoo Tennoji pernah melalui tempoh yang panjang tanpa gajah selepas kematian gajah terdahulu.

Menurutnya, Shelter Ihsan melihat terdapat kelonggaran ketara dalam aspek penilaian psikologi dan fizikal sebelum penghantaran DAK ke Jepun dilakukan.

Tegasnya, audit bebas amat penting bagi meneliti integriti keseluruhan proses kelulusan kuarantin dan logistik hidupan liar yang dilaksanakan sebelum perpindahan ketiga-tiga gajah berkenaan.

"Kita tidak boleh membiarkan kelestarian haiwan ikonik negara dipertaruhkan. Audit bebas ini penting untuk memeriksa integriti keseluruhan proses kelulusan kuarantin dan logistik hidupan liar ini," katanya.

Dalam pada itu, Aktivis DAK, Noraini Abd Khalil Saferi pula berkata, pemerhatian di lapangan melalui rangkaian antarabangsa mendapati gajah jantan, Kelat, dilaporkan menunjukkan tanda-tanda tekanan serta pengasingan.

Beliau berkata, tanda-tanda stres luaran atau stereotypic behavior yang diperhatikan pada Kelat bersama isu kecederaan fizikal tidak boleh dipandang ringan oleh Perhilitan.

Menurutnya, ketiga-tiga gajah itu telah dipisahkan daripada habitat asal dan kini ditempatkan dalam persekitaran konkrit yang sempit, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kebajikan haiwan berkenaan.

"Suara masyarakat sivil adalah jelas, pulangkan gajah-gajah kita sekiranya kebajikan asas mereka gagal dipenuhi," katanya.

Dalam masa sama, gabungan ini juga akan terus memantau rapat perkembangan isu itu dan bersedia menyerahkan memorandum rasmi kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Memorandum berkenaan bertujuan memastikan tindakan penguatkuasaan diambil tanpa kompromi sekiranya hasil audit bebas atau siasatan mendapati wujud sebarang kelemahan dalam pengurusan kebajikan DAK sepanjang berada di Zoo Tennoji.

Gabungan itu turut menegaskan komitmen mereka untuk terus memperjuangkan hak hidupan liar serta memastikan tadbir urus pemuliharaan alam dilaksanakan secara telus melalui kerjasama pertubuhan kebajikan haiwan, pakar alam sekitar dan aktivis yang terlibat dalam Rangkaian Solidariti DAK.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!