X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga inovasi produk UMK Care Kit dapat anugerah geran

PPE ciptaan UMK digunakan barisan petugas hadapan ketika menjalankan tugas mengekang penularan wabak Covid-19.
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapat pengiktirafan apabila tiga inovasi produknya dalam mengekang penularan koronavirus (Covid-19) menerima anugerah geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebagai peneraju dan SME CORP pula sebagai pemberi dana.

Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, geran bernilai RM150,000 itu adalah untuk produk pelindung muka, kelengkapan peralatan pelindungan diri (PPE) dan kotak intubasi.

Menurutnya, pemberian geran berkenaan menjadikan UMK sebagai universiti awam pertama terpilih menerima Geran Model Community Enabler (HIP6) MOSTI.

"Covid-19 telah memberi impak besar kepada perubahan keseluruhan kesihatan global yang mendorong UMK terlibat sama dalam pembangunan produk inovasi yang boleh digunakan barisan hadapan kita sementelahan pula kami melihat keperluan mendesak untuk produk berkenaan.

Alat pelindung muka yang dihasilkan UMK mendapat pengiktirafan.
Alat pelindung muka yang dihasilkan UMK mendapat pengiktirafan.

“Meskipun UMK bukanlah sebuah universiti berteraskan teknologi namun kami gemblengkan kepakaran dalaman kami, para pensyarah dan penyelidik kami dengan hasrat usaha kecil kami ini dapat membantu komuniti,” katanya hari ini.

Menurut beliau, task force yang diketuai oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UMK diberi cabaran masa yang singkat untuk merealisasikan pembangunan dan penghasilan UMK Cares Kit.

“Syarat lain juga ialah ianya mesti dibangunkan sendiri oleh tenaga dalaman UMK. Pengurusan Tertinggi UMK telah meluluskan peruntukan khas untuk membiayai projek ini.

"Berdasarkan teknologi dan kepakaran universiti di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan dibantu juga oleh Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, kami mengembleng tenaga kami agar produk yang mendesak ini dapat dihasilkan segera.

“Kami berterima kasih kerana Hospital Raja Perempuan Zainab II sudi menguji dan memberi input dalam pembangunan produk. Begitu juga kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Kelantan,” katanya.

Inovasi UMK yang dihasilkan dimanfaatkan petugas hadapan sebaik mungkin.
Inovasi UMK yang dihasilkan dimanfaatkan petugas hadapan sebaik mungkin.

Katanya, UMK Cares Kit tersebut diagihkan secara percuma dan sehingga kini pelbagai pihak berkaitan di negeri Kelantan telah mendapat manfaatnya.

“UMK mengharapkan pengagihan ini juga dapat dipanjangkan ke negeri Terengganu dan Pahang dalam masa terdekat ini,” katanya.

Katanya lagi, selain merealisasikan University For Society, Projek UMK Cares Kit juga telah memberi peluang kepada penyelidik UMK untuk menghasilkan produk inovatif yang bukan sahaja diperlukan kerana tuntutan semasa tetapi juga produk berkualiti dengan kos pengeluaran lebih rendah dari pasaran.

“Alhamdullilah, geran ini bukan matlamat asal inovasi tetapi dan pastilah anugerah geran ini membakar semangat untuk meneroka inovasi baru kepada penyelidik kami,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!