PMG Healthcare Group cipta rekod MBOR, latih 14,813 pelajar kuasai CPR

IPOH - PMG Healthcare Group membuktikan komitmen dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pertolongan cemas dalam kalangan generasi muda apabila berjaya melatih 14,813 pelajar menerusi kempen ‘Save A Life, Learn CPR’.
Pencapaian itu sekali gus melayakkan PMG Healthcare Group mencipta Rekod Malaysia (MBOR) bagi kategori Penyertaan Pelajar Terbesar dalam Latihan CPR dalam Setahun sejak program berkenaan dilancarkan pada September 2025.
Jelajah latihan CPR membabitkan sekolah di seluruh negara itu berakhir di Sekolah Menengah Shen Jai, Ipoh pada Isnin dengan penyertaan seramai 211 pelajar dalam sesi terakhir.
Sepanjang program, pelajar diberikan pendedahan secara praktikal mengenai teknik Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan kemahiran asas pertolongan cemas di bawah bimbingan pembantu pengajar terlatih.
Pengarah PMG Healthcare Group, Ling Hung Leong berkata, kemahiran CPR merupakan pengetahuan penting yang boleh membantu menyelamatkan nyawa ketika berdepan situasi kecemasan.

“Pendidikan pertolongan cemas perlu disemai sejak di peringkat sekolah supaya pelajar mempunyai pengetahuan dan keyakinan untuk bertindak apabila berdepan situasi kecemasan.
“Seramai 14,813 pelajar yang telah dilatih ini berpotensi menjadi individu yang mampu memberikan bantuan awal dalam komuniti masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, PMG Healthcare Group akan terus memperkukuh usaha mempromosikan budaya pertolongan cemas menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Katanya, usaha berkenaan selari dengan komitmen kumpulan itu untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat selain membantu meningkatkan akses kepada pengetahuan berkaitan penjagaan kesihatan.
"Hasrat kita agar setiap keluarga mempunyai pengetahuan asas untuk melindungi dan membantu satu sama lain ketika kecemasan,” katanya.
PMG Healthcare Group yang diasaskan oleh Dr Chieng King Chong di Sarawak kini mengendalikan lebih 260 cawangan di seluruh negara merangkumi farmasi, klinik perubatan bersepadu, perkhidmatan pergigian dan fisioterapi.
PMG Healthcare Group turut mengalu-alukan penyertaan lebih banyak sekolah dalam program berkenaan sebagai usaha memperluaskan pendidikan pertolongan cemas kepada lebih ramai pelajar di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

