Guna nama Kelantan perlu minta kebenaran kerajaan negeri - Exco

Zamakhshari Muhamad
Zamakhshari Muhamad
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan akan memperkenalkan syarat baharu dengan mewajibkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak swasta perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum menggunakan nama 'Kelantan' untuk penganjuran sesuatu program, bagi mengelakkan reputasi negeri tercalar.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, keputusan itu dicapai selepas timbul kontroversi membabitkan penganjuran sebuah acara lain menggunakan nama 'Kelantan' yang didakwa gagal diteruskan walaupun yuran penyertaan telah dikutip.

Menurut beliau, program berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan negeri, namun penggunaan nama 'Kelantan' menyebabkan orang ramai menyangka ia dianjurkan secara rasmi oleh kerajaan.

"Selepas ini sebarang program yang dianjurkan oleh NGO ataupun pihak swasta yang menggunakan nama Kelantan perlu mendapat kebenaran kerajaan negeri.

"Bila guna nama Kelantan, dia perlu mendapat kebenaran,"katanya semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu tular di media sosial berhubung pembatalan Kelantan International Marathon yang mencetuskan rungutan peserta kerana mendakwa telah membuat bayaran pendaftaran.

Zamakhshari menjelaskan, penganjur program tersebut pernah bertemu beliau beberapa bulan lalu bagi membentangkan cadangan penganjuran acara berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri ketika itu menasihatkan supaya penganjur memulakan penganjuran secara kecil-kecilan terlebih dahulu selepas melihat pengalaman dan latar belakang mereka yang bukan dalam bidang pengurusan acara.

"Namun mereka meneruskan juga penganjuran itu dan akhirnya timbul pelbagai isu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak mahu mengatakan ia satu penipuan, tetapi mungkin berlaku kelemahan dari segi pengurusan sehingga program itu tidak dapat diteruskan dan sekarang peserta meminta bayaran balik," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak terlibat sama sekali dalam penganjuran program tersebut.

"Masalah itu adalah masalah mereka. Kerajaan negeri langsung tiada kaitan.

"Tetapi apabila menggunakan nama Kelantan, orang ramai menyangka kerajaan negeri yang menganjurkannya. Akhirnya nama Kelantan pula yang dipersalahkan apabila program gagal dilaksanakan," katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, satu mekanisme permohonan akan diwujudkan dan setiap cadangan program yang mahu menggunakan nama Kelantan akan dinilai terlebih dahulu mengikut portfolio Exco berkaitan.

Katanya, kerajaan negeri akan meneliti bentuk program, pengisian serta kemampuan penganjur sebelum sebarang kelulusan diberikan.

"Tujuannya supaya nama Kelantan tidak tercemar akibat penganjuran program yang tidak diurus dengan baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!