Sila log masuk terlebih dahulu.

Penggunaan tenaga terjejas akibat Covid-19, PKP

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penularan Covid-19 terbukti memberi impak ketara terhadap pelbagai sektor terutamanya penggunaan tenaga ketika ekonomi beroperasi pada kapasiti kira-kira 45 peratus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Agensi Tenaga Antarabangsa menganggarkan permintaan tenaga di negara-negara yang melaksanakan sekatan pergerakan secara separa atau penuh telah susut kira-kira 15 peratus.

“Ini angka besar bagi satu sektor yang selama ini mudah dijangkakan apabila perancang mahu mendapatkan unjuran permintaan tenaga yang tepat dalam masa nyata untuk disesuaikan dari segi padanan dengan bekalan,” kata Felo Kanan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Renato Lima de Oliveira.

Tenaga adalah input penting dalam semua aktiviti ekonomi dan apabila perniagaan terjejas seperti ketika kemelesetan, ia akan turut menjejaskan permintaan bagi penggunaan tenaga.

"Namun, perbezaannya pada masa sekarang ialah kejutan itu semakin beransur-ansur kurang berbanding ketika kemelesetan ekonomi dan memberi kesan lebih besar terhadap sektor minyak berbanding penggunaan tenaga,” katanya.

Kesan terhadap sektor tenaga Malaysia

Malaysia yang juga pembeli tunggal dengan entiti yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus, merancang dan memperoleh tenaga elektrik mencatatkan kapasiti semasa 25,245.902 megawatt (MW) setakat 9 Februari 2020.

Bagaimanapun, permintaan pada masa ini hanyalah pada 12,729 MW setakat 13 April berikutan operasi perniagaan yang dihentikan sementara akibat pelaksanaan PKP.

Artikel Berkaitan:

Menurut de Oliveira, ekonomi Malaysia masih bergantung kepada sektor perkhidmatan dan sebarang impak terhadap industri tenaga apabila sektor pembuatan dihentikan operasi sementara ketika PKP adalah kecil berbanding keadaan beberapa tahun dulu.

"Sejak 2004, sumbangan industri tenaga terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin berkurangan.

"Bagaimanapun, kebaikannya dalam sektor perkhidmatan ini adalah mudah untuk bekerja dari rumah sepertimana dilakukan ramai sejak akhir-akhir ini yang sekali gus meningkatkan penggunaan tenaga di peringkat isi rumah,” katanya.

Secara perbandingan, impak kepada ekonomi adalah lebih buruk jika kebanyakan pekerjaan memerlukan kehadiran pekerja di kilang atau pejabat masing-masing, kata de Oliveira.

Pembekal utiliti milik negara, Tenaga Nasional Bhd (TNB) pula berkata permintaan tenaga elektrik berkemungkinan susut berikutan Covid-19,.

TNB menjangkakan sebahagian besar pendapatannya tidak terjejas kerana kumpulan itu dilindungi struktur aset penghantaran dan pengedaran tenaga serta skim perjanjian pembelian tenaga untuk penjanaan elektrik.

No Image Caption

Hong Leong Investment Bank Bhd berkata, TNB akan menerima pampasan menerusi mekanisme ketidakseimbangan pelepasan kos akan datang bagi menangani kekurangan pendapatan akibat permintaan tenaga lebih rendah daripada dijangkakan.

Berikutan Covid-19, Southern Power Generation Sdn Bhd (SPG) iaitu anak syarikat dengan 51 peratus kepentingan TNB mengumumkan ‘force majeure’ atau keadaan di luar jangka yang menghalang kontrak dipenuhi, susulan PKP dan kekangan di negara-negara yang mana tugasan pakar-pakar kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) yang menyokong projek terpaksa dihentikan untuk sementara waktu.

Sebarang pengisytiharan ‘force majeure’ boleh memberi kesan kepada projek janakuasa gabungan kitaran turbin gas 2x720 MW SPG di Pasir Gudang, kata Malaysian Rating Corporation (MARC) baru-baru ini.

Usaha pembinaan stesen janakuasa itu mencecah 99.5 peratus pada akhir Februari 2020 dengan baki kerja-kerja kecil berkaitan jalan dan saliran masih dilaksanakan.

Kerja-kerja pentauliahan pula di tahap 77 peratus dan tarikh operasi komersial yang dijadualkan pada 1 Julai 2020 berkemungkinan besar akan ditangguhkan.

Fasa pertama PKP dari 18 hingga 31 Mac lalu menyaksikan perniagaan kurang penting menghentikan operasi manakala orang awam ramai diarah duduk di rumah dalam usaha membendung pandemik tersebut.

PKP itu kemudiannya dilanjutkan sebanyak dua kali dengan fasa ketiga pada 5 hingga 28 April 2020.

De Oliveira berkata, usaha meneruskan langkah bagi memastikan semua orang berada di rumah akan turut menjejaskan permintaan terhadap tenaga.

"Kita menanggung impak yang besar untuk apa yang diharapkan akan menjadi lebih baik dengan kawalan Covid-19, hospital yang kurang sesak dan kemungkinan penglibatan aktiviti ekonomi sepenuhnya tanpa bayangan jumlah jangkitan yang meningkat," katanya.

Prestasi pasaran minyak

Sebaliknya, kemerosotan pasaran minyak terbukti lebih tinggi sebanyak 27 peratus apabila perkhidmatan penerbangan dibatalkan, kereta tidak digunakan susulan ramai bekerja dari rumah serta aktiviti penghantaran barangan yang terhenti dan tidak bergerak merentasi negara, kata de Oliveira.

Pada masa ini, minyak mentah Brent susut 0.76 peratus kepada AS$31.50 setong (US$1=RM4.32) yang memaparkan penyusutan ketara 50 peratus setakat tahun ini.

"Ini jelas merupakan bencana kepada pasaran minyak dan pada masa sama Arab Saudi bertindak mengurangkan harga jualannya dan berjanji meningkatkan pengeluaran minyak yang menyebabkan kejatuhan harga dalam sejarah.

"Oleh itu, sektor tenaga, secara perbandingannya, terlepas daripada keadaan yang lebih teruk dan dijangka cepat pulih apabila ekonomi dapat dijana semula," katanya.

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF

Menurutnya, keadaan itu tidak jelas untuk minyak terutamanya jika usaha bekerja dari rumah akan diteruskan dan mengurangkan permintaan terhadap bahan api selain halangan kebersihan terhadap orang ramai yang mahu melakukan perjalanan merentasi negara yang menyebabkan penerbangan berkurangan.

Sebanyak 13 negara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Rusia dan sekutu lain bertemu pada 12 April lalu untuk mencapai kesepakatan bagi mengurangkan pengeluaran sebanyak 10 juta tong sehari - pengurangan terbesar dalam usaha mengapungkan harga minyak.

Pasaran minyak terjejas teruk akibat Covid-19 apabila pasaran komoditi itu menyaksikan permintaan yang merosot.

Usaha awal untuk mengurangkan pengeluaran minyak dihalang Mexico selepas negara itu meragui rancangan OPEC dan enggan mengurangkan bahagiannya.

Penurunan berpanjangan harga dan hasil minyak serta pengurangan pengeluaran dijangka terus menjadi cabaran utama bagi syarikat minyak dan gas terutamanya syarikat yang berisiko tidak dapat membiayai semula hutang atau memenuhi perjanjian hutang sedia ada.

Tahap kecekapan tenaga di negara lain

Adalah penting untuk menunjukkan perbezaan kecekapan tenaga di serata negara di dunia dan sejajar usaha perindustrian yang menyebabkan mereka cenderung untuk meningkatkan penggunaan tenaga bagi setiap kekayaan yang dicipta.

Ini diukur menerusi indeks intensiti tenaga yang mengira sebanyak mana tenaga diperlukan untuk menjana satu unit output ekonomi.

"Bagaimanapun apabila ekonomi beralih daripada pertumbuhan berasaskan pembuatan kepada bahagian perkhidmatan yang lebih tinggi, seperti kebanyakan negara-negara paling maju pada masa kini, kekayaan cenderung berkembang lebih pantas berbanding keperluan tenaga.

"Hasilnya mereka menjadi lebih cekap tenaga, kerana mereka kurang memerlukan tenaga untuk menjana lebih banyak kekayaan,” katanya.

Berbanding Korea Selatan, Vietnam atau Thailand, Malaysia lebih cekap tenaga pada 4.682 megajoules (MJ) bagi setiap dolar AS daripada KDNK serta lebih baik berbanding purata dunia pada 5.131 MJ, namun ia masih jauh daripada purata penggunaan negara-negara Kesatuan Eropah pada 3.767 MJ.

Transformasi ke arah sektor perkhidmatan tokokan nilai tinggi masih belum berakhir lagi, namun trendnya sudah semakin jelas. Ini akan membolehkannya berkembang pantas berbanding keperluan untuk menambah lebih banyak penjanaan kuasa kepada grid. - Bernama