X

Kindly register in order to view this article
!

'Tahan, reman dan terus hadap ke mahkamah'

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bercakap pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Polis tidak akan berkompromi terhadap individu yang didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok apabila mereka akan ditahan dan dihadapkan di mahkamah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat individu yang berfikiran kompaun RM1,000 yang dikenakan adalah nilai yang kecil dan tidak menakutkan.

"Kita lihat (sesetengah rakyat) seolah-olah tidak takut dengan undang-undang yang kita ada pada hari ini. Mungkin RM1,000 dianggap tidak tinggi untuk mereka ingkar. Kita bersetuju polis tidak lagi memberikan tumpuan kepada kompaun dan mulai esok, sesiapa yang ditahan akan direman dan dihadapkan ke mahkamah.

"Biarlah mahkamah putuskan. Mengikut Seksyen 24 Akta 342, mahkamah boleh menghukum pesalah ini tidak lebih dua tahun penjara bagi kesalahan pertama dan lima tahun penjara bagi kesalahan seterusnya. Kita anggap biarlah mahkamah putuskan hukuman berat kepada mereka yang ingkar," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di sini hari ini.

Mengulas mengenai isu pertambahan kenderaan di jalan raya sejak semalam, Ismail Sabri berkata, PDRM memaklumkan berlaku pertambahan berbanding kebiasaan sepanjang PKP dilaksanakan.

"Saya difahamkan ramai keluar ke bank untuk mengeluarkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Kerajaan sarankan supaya mereka yang memohon membuat semakan dalam talian, tetapi ramai juga yang keluar.

"Sebab itu polis bersetuju bahawa pematuhan masih lagi tidak sampai ke tahap yang disasarkan. Jadi ramai yang agaknya lupa atau sengaja lupa dengan masih keluar seperti biasa. Polis tidak akan berkompromi bukan hanya beri kompaun tetapi, hadapkan ke mahkamah," katanya.

Jelasnya, ramai menganggap kompaun yang dikeluarkan polis itu sama seperti saman kesalahan jalan raya.

"Mereka mungkin ingat jika tak selesaikan kompaun, tak akan ada tindakan. Bermula esok tidak ada kompromi lagi," katanya.

Beliau berkata, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 786 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 546,553 kenderaan.

"Sebanyak 49,394 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,702 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

"PDRM telah menahan 1,374 individu kerana ingkar PKP merangkumi 931 individu dikenakan kompaun RM1,000 manakala seramai 418 individu direman dan 25 individu dijamin polis," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, seramai 427 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP.

"Selain itu juga, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 13 April 2020 (semalam) adalah sebanyak 9,090 individu dan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan 4,036," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf