Unai Simon tunggu ‘bedilan’ Argentina tapi tak kunjung tiba

UNAI Simon mungkin menjangkakan malam yang sibuk apabila berdepan jentera serangan Argentina dalam final Piala Dunia 2026, namun realitinya penjaga gol Sepanyol itu hanya menjadi pemerhati sepanjang aksi 120 minit.
Argentina yang terkenal dengan reputasi sebagai pasukan berbahaya di bahagian serangan gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat ke arah gawang Sepanyol, sekali gus membuatkan Simon tidak perlu bekerja keras untuk mempertahankan pintu gawangnya.
Lebih mengecewakan buat Argentina, kapten mereka, Lionel Messi yang menjadi nadi utama sepanjang kempen Piala Dunia kali ini turut gagal mencipta ancaman ke arah kubu La Roja apabila jentera serangan juara bertahan itu buntu sepanjang perlawanan.
Malah, situasi itu menjadi bahan gurauan dalam kalangan penyokong di media sosial apabila ada yang berseloroh, jika Simon sempat menikmati dua peket kuaci sepanjang perlawanan pun masih belum habis kerana terlalu sedikit ancaman yang hadir ke gawangnya.
Ironinya, sebelum Sepanyol mengangkat trofi Piala Dunia buat kali kedua, nama Simon terlebih dahulu diumumkan sebagai penerima Anugerah Sarung Tangan Emas selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan.
Penjaga gol berusia 28 tahun itu menjadi antara tonggak penting kejayaan La Roja apabila membantu pasukan kendalian Luis de la Fuente mara sehingga ke perlawanan akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
