Pan-gon enggan ulas perlawanan, mahu MFL siasat Nazmi Faiz

PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon menggesa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menjalankan siasatan terhadap pemain Kuching City FC, Nazmi Faiz Mansor susulan insiden kekecohan yang tercetus selepas jaringan pasukan itu dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA pada Ahad.
Pan-gon mendakwa tindakan Nazmi yang menghampiri kawasan bangku simpanan Selangor ketika meraikan jaringan kemenangan Kuching City FC telah mencetuskan ketegangan sehingga berlaku kekecohan membabitkan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan.
"MFL perlu menjalankan siasatan. Menang atau kalah bukan persoalannya, tetapi setiap pemain perlu menghormati antara satu sama lain.
"Kita perlu menjaga semangat kesukanan dan menghormati pasukan lawan. Tindakan datang ke bangku simpanan lawan untuk menyerang ketua jurulatih amat mengecewakan," katanya.
Dalam masa sama, Pan-gon meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan yang didakwa dilakukan Nazmi itu selain berpandangan pemain dan pegawai Selangor tidak sewajarnya dilayangkan kad merah susulan insiden berkenaan.
Beliau juga enggan mengulas mengenai kekalahan pasukannya termasuk beberapa keputusan kontroversi pengadil dalam perlawanan itu.
Terdahulu, Kuching City FC menewaskan Selangor FC 2-0 dalam aksi tersebut sekali gus mengesahkan kemaraan ke final dengan kemenangan agregat 3-2.
Kemenangan itu menyaksikan skuad The Cats bakal berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perebutan kejuaraan Piala FA musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
