Apa yang cuba disampaikan Sosa?

TINDAKAN pemain import Selangor FC, Eduardo Sosa menunjukkan isyarat tangan menyerupai simbol wang selepas dilayangkan kad merah mencetuskan tanda tanya dan menjadi perhatian di media sosial.
Insiden itu berlaku ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC yang menyaksikan Selangor tersingkir selepas tewas dengan agregat 2-3.
Kejadian berkenaan tercetus selepas pengadil melayangkan kad merah kepada Sosa susulan kekecohan yang berlaku sejurus Kuching City meledak gol kedua yang juga jaringan kemenangan pasukan tuan rumah.
Kekecohan itu dipercayai bermula apabila timbul dakwaan berlaku provokasi oleh pemain Kuching City berhampiran bangku simpanan Selangor selepas jaringan tersebut.
Situasi tegang itu juga menyaksikan pengadil melayangkan kad merah kepada Sosa dan jurulatih kecergasan Selangor, Joel Dones.
Bagaimanapun, ketika diiringi keluar dari padang, Sosa dilihat melakukan isyarat tangan menyerupai simbol wang yang kemudiannya tular di media sosial.
Tindakan Sosa berkenaan berpotensi mengundang tindakan disiplin sekiranya didapati melanggar peraturan pertandingan, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemain import itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
