Gugur air mata sang 'kambing'

Messi meratapi kegagalan Argentina mempertahankan Piala Dunia selepas tewas tipis 0-1 kepada Sepanyol. Foto: Agensi
Messi meratapi kegagalan Argentina mempertahankan Piala Dunia selepas tewas tipis 0-1 kepada Sepanyol. Foto: Agensi
A
A
A

AIR mata jantan Lionel Messi gugur selepas impian Argentina mempertahankan kejuaraan Piala Dunia berkecai apabila tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam aksi final yang berlarutan sehingga masa tambahan.

Messi yang sering digelar ‘GOAT’ (Greatest of All Time atau pemain terhebat sepanjang zaman) gagal menyembunyikan kesedihan selepas wisel terakhir dibunyikan, sambil penyokong di Stadium MetLife melaungkan namanya sebagai tanda penghormatan buat legenda Argentina itu.

Pada usia 39 tahun, kapten La Albiceleste itu menutup tirai penampilan Piala Dunianya tanpa mampu menghadiahkan trofi kedua berturut-turut buat negaranya.

Sepanyol muncul juara dunia buat kali kedua menerusi jaringan pemain gantian Ferran Torres pada minit ke-106 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit permainan.

Nasib Argentina bertambah sukar apabila terpaksa mengharungi masa tambahan dengan 10 pemain selepas Enzo Fernández dilayangkan kad merah pada minit ke-90+3 susulan menerima kad kuning kedua.

Walaupun gagal menambah koleksi kejuaraan dunia, Messi tetap mencipta sejarah apabila menjadi pemain kedua selepas legenda Jerman, Lothar Matthäus yang beraksi dalam tiga final Piala Dunia, selain muncul pemain lapangan tertua dalam aksi kemuncak kejohanan itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!