'Mungkin kita tonton drama Korea' – Aidil Sharin

PENGENDALI Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan aksi dramatik ketika menentang Selangor FC dalam separuh akhir kedua Piala FA semalam, seolah-olah menyaksikan sebuah drama Korea.
Dalam perlawanan itu, Kuching City menewaskan Selangor 2-0 untuk mengesahkan kemaraan ke final dengan agregat 3-2.
Jaringan menerusi sepakan penalti Safawi Rasid dan gol sendiri pemain Selangor, Mukhairi Ajmal pada masa tambahan memastikan skuad Kuching City menempah tiket ke pentas final.
Bagaimanapun, perlawanan itu turut dibayangi kekecohan selepas jaringan kedua Kuching City, yang didakwa berpunca daripada provokasi pemain tuan rumah, Nazmi Faiz Mansor terhadap pengendali Selangor, Kim Pan-gon.
Aidil menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk meneliti serta menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.
"Mungkin kita tonton drama Korea hari ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Aidil memberikan penghargaan kepada barisan pemainnya yang disifatkan menunjukkan semangat juang luar biasa untuk memastikan kemaraan ke final menjadi kenyataan.
Menurutnya, kejayaan itu lebih bermakna apabila Kuching City terpaksa mengharungi jadual perlawanan padat dengan hanya mempunyai tempoh rehat 48 jam selain kehilangan kira-kira tujuh pemain utama.
“Bukan mudah untuk bermain selama 120 minit dengan hanya 48 jam masa rehat, lebih-lebih lagi apabila beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan.
“Namun, saya sentiasa percaya kepada semua pemain dan malam ini (Ahad) mereka membuktikan betapa besarnya keinginan untuk berada di pentas final,” katanya.
Kuching City bakal berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
