Empat gajah masuk kampung, penduduk diserang ketika cuba halau

IPOH – Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas diserang seekor gajah ketika cuba menghalau kawanan haiwan liar yang memasuki Kampung Orang Asli Perjek, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Legap, Sungai Siput pada malam Jumaat.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10 malam sebelum kakitangan Perhilitan Daerah Sungai Siput digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Menurut kenyataan itu, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 9 malam apabila sekumpulan empat ekor gajah memasuki kawasan belakang rumah penduduk dan memakan tanaman ubi kayu serta pisang.
"Mangsa bersama beberapa penduduk kampung cuba menghalau kumpulan gajah berkenaan, namun ketika usaha itu dijalankan mangsa berada pada jarak terlalu hampir sebelum tiba-tiba diserang seekor gajah.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan, pendarahan dan tidak sedarkan diri sebelum berjaya diselamatkan penduduk kampung," menurut kenyataan pada Sabtu.
Mangsa yang berusia 48 tahun itu kemudiannya dihantar menaiki ambulans ke Hospital Sungai Siput kira-kira jam 10.30 malam sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan lanjut.
Perhilitan turut memaklumkan bahawa mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Dalam pada itu, Perhilitan berkata, pemantauan menggunakan dron mendapati kumpulan gajah berkenaan telah beredar dari kawasan kampung.
"Jabatan akan terus memantau pergerakan kumpulan gajah itu dan mengambil tindakan pengurusan yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko konflik antara manusia dengan hidupan liar di kawasan tersebut.
"Perhilitan juga akan membantu waris mangsa mendapatkan bantuan menerusi inisiatif Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam," katanya.
Pihak jabatan berkenaan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri menghalau hidupan liar, khususnya gajah, kerana ia boleh mengundang risiko kepada keselamatan.
Sementara itu Perhilitan meminta sebarang aduan berkaitan konflik hidupan liar boleh disalurkan menerusi talian hotline Perhilitan di 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang jabatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

