Tunku Azizah pelawa Orang Asli Kampung Sungai Cot berpindah, tinggal di tanah baginda

KUANTAN - Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa simpati dan mempelawa mana-mana keluarga masyarakat Orang Kita (Orang Asli) Kampung Sungai Cot, Maran yang memerlukan penempatan untuk berpindah dan tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.
Pengelola Bijaya Diraja Baginda Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, baginda sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku dan amat memahami kegusaran serta kesulitan yang sedang dihadapi masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.
Menurutnya, masyarakat Orang Asli bukan sekadar sebahagian daripada rakyat Negeri Pahang, bahkan sentiasa mempunyai tempat yang amat istimewa di hati Paduka Baginda.
"Menerusi kajian tesis yang sedang disiapkan baginda ketika ini, peranan Orang Asli mustahak di dalam kemajuan negeri sejak dahulu lagi.
" Justeru itu kesejahteraan dan masa depan mereka sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh baginda," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Mohamed Zahari berkata, Tengku Azizah turut menegaskan, masyarakat Orang Asli tidak perlu bimbang mengenai masa depan mereka.
"Baginda memberi jaminan sekiranya tanah di Kuala Wau itu dibangunkan pada masa hadapan, masyarakat Orang Asli yang menetap di situ akan terus mempunyai tempat tinggal dan tidak akan dipinggirkan.
"Mereka akan terus dibela dan boleh tinggal di kawasan tersebut," ujarnya.
Pada masa sama, Mohamed Zahari menjelaskan, pelawaan Baginda itu tidak terhad kepada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot, Maran sahaja.
Beliau berkata, mana-mana masyarakat Orang Asli yang memerlukan tempat berteduh atau penempatan baharu juga dipersilakan untuk tinggal di tanah milik Baginda itu setelah mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Baginda berharap pelawaan itu dapat memberikan kelegaan kepada mereka yang terkesan, selain memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus terbela tanpa mengira latar belakang atau keadaan
"Pada masa yang sama, baginda menyeru agar semua pihak yang terlibat mengutamakan semangat permuafakatan, saling menghormati dan berunding dengan penuh hikmah dalam mencari jalan penyelesaian yang adil, berhemah serta memelihara kepentingan semua pihak," katanya.
Isu pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot mendapat perhatian selepas tular video seorang wanita Orang Asli bersama anaknya memohon bantuan untuk bertemu Perdana Menteri berhubung penahanan suaminya yang dikaitkan pertikaian tanah di kawasan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

