PRN Johor: Hujan lebat tidak lunturkan semangat pengundi

Hujan yang turun sejak awal pagi tadi tidak membataskan pergerakan pengundi untuk hadir bagi menunaikan tanggungjawab mereka. Foto Bernama
Hujan yang turun sejak awal pagi tadi tidak membataskan pergerakan pengundi untuk hadir bagi menunaikan tanggungjawab mereka. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hujan lebat dan ribut petir di seluruh Johor setakat tengah hari ini tidak mematahkan semangat orang ramai untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat mengundi di Muar mendapati hujan berterusan sejak pagi melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Limbong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar.

Sebahagian pengundi turut dilihat mengenakan baju hujan manakala yang lain membawa payung ketika menuju ke pusat mengundi, sekali gus mencerminkan kesungguhan mereka melaksanakan tanggungjawab walaupun cuaca kurang mengizinkan.

Di Johor Bahru pula, keadaan cuaca sama melanda kawasan SMK Bandar Uda Utama turut tidak menghalang pengundi melaksanakan peranan mereka untuk memilih dengan suasana di pusat-pusat mengundi kekal terkawal.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ribut petir diramalkan melanda beberapa kawasan di Johor pada sebelah petang antaranya Iskandar Puteri, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai, Labis, Mersing, Pasir Gudang, Segamat dan Simpang Renggam.

Bagaimanapun, cuaca dijangka kembali baik sebelah malam dengan tiada hujan diramalkan di kebanyakan kawasan. 

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang media memaklumkan hujan yang melanda beberapa kawasan termasuk Muar, Kluang dan Johor Bahru dijangka memberi sedikit kesan kepada kadar keluar mengundi pada sebelah petang.

Disebabkan cuaca hujan, SPR menjangkakan terdapat sedikit gangguan kepada peratusan keluar mengundi namun masih boleh mencapai sekitar 65 hingga 70 peratus.

Johor menjadi tumpuan hari ini apabila lebih 2.6 juta pengundi berdaftar memilih wakil rakyat masing-masing bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor ke-16. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!