Dakwat ungu pada jari 'tiket ganjaran' raih harga promosi sempena PRN Johor

JOHOR BAHRU - Bagi rakyat Johor yang membuang undi dalam Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 hari ini, dakwat kekal pada jari telunjuk mereka bukan sekadar bukti telah menunaikan tanggungjawab, malah turut menjadi tiket kepada pelbagai promosi makanan dan minuman di seluruh negeri.
Kesan dakwat ungu pada jari, yang secara tradisinya menandakan penyertaan dalam proses pilihan raya, telah menjadi ibarat 'tiket ganjaran', dengan beberapa jenama popular melancarkan pelbagai promosi untuk menarik pelanggan.
Antaranya, The Coffee Bean & Tea Leaf yang menawarkan diskaun 20 peratus pada hari ini sahaja untuk pembelian terpilih kepada pelanggan yang menunjukkan jari yang dicelup dakwat itu.
Sementara itu, Krispy Kreme memberi peluang kepada pengundi untuk membeli sebiji donat Original Glazed pada harga hanya RM2 dengan menunjukkan jari berdakwat mereka di kedai terpilih di Johor, bergantung kepada stok yang ada.
Burger King juga menawarkan aiskrim Soft Serve Cone percuma bagi setiap pembelian set hidangan sehingga esok, memberikan dorongan kepada pengundi untuk singgah selepas membuang undi.
Tidak mahu ketinggalan, Marrybrown juga menawarkan pomosi kepada pelanggan iaitu ayam goreng percuma dengan pembelian mana-mana MB Combo setelah menunjukkan tanda dakwat kekal mereka.
Promosi sedemikian tersebar di media sosial sejak awal pagi ini, dengan ramai pengundi berkongsi hantaran 'ganjaran' mereka selepas membuang undi.
Walaupun tawaran promosi ini dilihat sebagai satu usaha kecil, namun ia menambahkan sentuhan perayaan pada hari pilihan raya, mewujudkan rasa kekitaan dan penghargaan dalam kalangan mereka yang meluangkan masa untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi ini.
Penggunaan dakwat kekal mula diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2013 semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, sebagai langkah mempercepatkan proses pengundian.
Johor menjadi tumpuan utama negara hari ini apabila lebih 2.6 juta pengundi yang layak dijangka mengundi pada pilihan raya negeri kali ini untuk memilih wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri.
Sebanyak 172 calon bertanding dalam pilihan raya kali ini dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing meletakkan 56 calon, diikuti Perikatan Nasional (33), Parti Bersama Malaysia (15), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (empat), Parti Orang Asli Malaysia (satu), Parti Sosialis Malaysia (satu) dan enam calon bebas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

