Kualiti air Tasik Biru perlu diuji sebelum dijadikan sumber bekalan – Jimmy Puah

JOHOR BAHRU – Cadangan menjadikan Tasik Biru yang merupakan bekas tasik lombong di kawasan Gunung Pulai sebagai sumber air mentah alternatif perlu disertai ujian kualiti air dan penilaian kesan alam sekitar secara bebas sebelum dilaksanakan.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, aspek keselamatan air itu perlu diberi perhatian memandangkan ia berpotensi menjadi sumber bekalan yang disalurkan ke kediaman penduduk.
Menurut Naib Pengerusi PKR Johor itu, masih terdapat persoalan mengenai kemungkinan kandungan logam berat dalam bekas tasik lombong berkenaan selain kesan aktiviti pengepaman air terhadap ekosistem sekitarnya.
“Saya juga bimbang tentang kualiti air Tasik Biru. Sama ada bekas tasik lombong ini mengandungi logam berat dan apakah kesan pengepaman air terhadap ekosistem, semuanya masih belum terjawab.
“Saya ingin menegaskan bahawa air ini akhirnya akan mengalir ke paip setiap rumah. Kerajaan negeri mesti terlebih dahulu menjalankan ujian kualiti air dan penilaian kesan alam sekitar secara bebas, serta mendedahkan hasilnya kepada umum,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh mengenai kajian cadangan menjadikan Tasik Biru yang menakung kira-kira 800 juta liter air sebagai sumber air mentah alternatif.
Dalam pada itu, Jimmy Puah turut mempersoalkan keperluan kerajaan negeri mencari sumber air baharu ketika Johor sedang pesat membangunkan industri pusat data.
Katanya, Johor telah meluluskan 60 pusat data dengan 31 daripadanya sudah beroperasi, manakala dua daripada 10 pusat data kecerdasan buatan (AI) terbesar di dunia turut terletak di negeri ini.
"Sebuah pusat data berkapasiti 100 megawatt menggunakan kira-kira 4.2 juta liter air sehari, manakala firma penyelidikan menganggarkan keperluan air pusat data di Johor boleh mencecah kira-kira 400 juta liter sehari pada masa hadapan.
"Oleh itu, saya meminta kerajaan negeri mendedahkan jumlah peruntukan air kepada pusat data, penggunaan sebenar serta peratusannya berbanding keseluruhan bekalan air negeri," ujarnya.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri menilai kapasiti bekalan air dan elektrik sebelum meluluskan pembangunan pusat data baharu yang menggunakan sumber air secara intensif.
“Saya tidak membantah pelaburan, tetapi pembangunan mesti dilaksanakan secara terkawal.
“Sebelum itu, kelulusan pusat data baharu yang menggunakan air secara intensif perlu ditangguhkan. Kerajaan negeri juga perlu mewajibkan penggunaan air kitar semula,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga perlu mewujudkan mekanisme aduan dan pampasan berkesan bagi penduduk yang terjejas akibat pembangunan pusat data.
Beliau menegaskan air merupakan keperluan asas rakyat dan kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan secara terbuka mengenai perancangan sumber air baharu serta keutamaan penggunaan bekalan air di Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

