[VIDEO] 'Ingatkan kena beratur panjang'

A
A
A

JOHOR BAHRU - Sepasang adik-beradik dari Taman Perling, di sini merasa teruja apabila berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, pada Sabtu.

Wildan Haris, 30, dan adiknya, Rania Humaira, 21, menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera.

Menurut Wildan, pada mulanya dia menjangkakan proses pengundian mengambil masa yang lama berikutan kehadiran ramai pengundi, namun urusan di pusat mengundi berjalan lancar.

"Saya jangka hari ini sibuk dan sesak. Alhamdulillah, semuanya lancar, lima minit dah siap. Saya ingatkan dekat sejam prosesnya," katanya kepada Sinar Harian.

Wildan berkata, sebelum ini dia tidak berpeluang mengundi kerana bekerja di luar negara dan tidak sempat pulang ke Malaysia setiap kali pilihan raya diadakan.

"Jadi, kali ini saya berpeluang rasa sendiri mengundi. Ini benda baharu dan saya gembira dapat tunaikan tanggungjawab sebagai warganegara," katanya.

Sementara itu, Rania Humaira berkata, meskipun berasa gementar, dia teruja kerana akhirnya dapat mengundi selepas cukup umur.

"Kali pertama mengundi, rasa gementar juga tapi ini pengalaman yang baharu untuk saya sebagai rakyat Malaysia.

"Saya terpanggil untuk mengundi sebab dah cukup umur. Saya rasa perlu mengundi untuk pilih siapa yang akan mewakili kawasan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!