Sambut baik usaha beri peruntukan kepada SAR

Siti Zailah Mohd Yusoff
Siti Zailah Mohd Yusoff
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff menyambut baik hasrat Kementerian Pendidikan memberikan peruntukan kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama persendirian.

Katanya, beliau percaya usaha tersebut dapat membantu menaik taraf pembangunan infrastruktur bagi 147 sekolah pondok dan 106 SAR.

"Semoga peruntukan tambahan ini akan diberikan secara adil tanpa membezakan sekolah yang bernaung di bawah individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti tertentu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: KPM usaha beri bajet buat sekolah agama rakyat]

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyatakan, pihaknya akan berusaha untuk memberi peruntukan kepada SAR dan sekolah agama persendirian dalam belanjawan tambahan kelak.

Katanya, kedua-kedua jenis sekolah berkenaan tidak termasuk dalam kategori sekolah pondok dan sekolah tahfiz tetapi merupakan sekolah agama yang menggunakan kurikulum kebangsaan dan ada tambahan pelajaran agama.

Mengulas lanjut Siti Zailah berkata, ketika perbahasan Belanjawan 2019 yang lepas, beliau telah membangkitkan isu keadilan di dalam pembahagian peruntukan kepada sekolah-sekolah.

"Hal ini adalah kerana dalam Belanjawan 2019 tidak ada langsung disebut secara khusus peruntukan untuk SAR dan sekolah agama persendirian sedangkan sekolah menengah persendirian Cina diberi peruntukan sehingga RM12 juta.

"Dalam keadaan jumlah sekolah Cina hanyalah 60 buah, ini bermaksud sekolah persendirian Cina akan mendapat lebih kurang RM200 ribu bagi satu sekolah," katanya.

Artikel Berkaitan:


Jelasnya, beliau bukan mahu mempertikaikan peruntukan kepada sekolah persendirian Cina, malah dialu-alukan tetapi kerajaan pada hari ini perlu memberikan keadilan kepada rakyat.

"Saya menekankan bahawa kalaulah kerajaan PH benar-benar mahu meletakkan agenda mensejahterakan rakyat dan memberi keadilan kepada rakyat, peruntukan ini mestilah diberikan dengan adil termasuk kepada sekolah jenis persendirian yang lain juga.

"Hak SAR dan sekolah agama persendirian tidak wajar dinafikan kerana mereka juga menggunakan sukatan pelajaran pendidikan nasional di samping pendidikan diniyyah dan turut mematuhi apa yang telah disarankan oleh sistem pendidikan Malaysia.

Justeru, kerajaan PH tidak boleh membelakangkan keperluan SAR dan sekolah agama persendirian," katanya.