PM patut selesaikan isu rumah Selangor sebelum kritik negeri lain - Muhammad Faizzuddin

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menyelesaikan isu rumah mahal dan rumah mampu milik di Selangor terlebih dahulu sebelum mengkritik kerajaan negeri lain berhubung masalah sama.
Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya hairan dengan kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa harga rumah di Johor mahal berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menyediakan lebih banyak rumah mampu milik, sedangkan Selangor turut berdepan isu serupa.
Beliau berkata, berdasarkan data National Property Information Centre (NAPIC) bagi suku pertama tahun ini, Selangor merekodkan 3,745 unit kediaman siap dibina tetapi masih gagal dijual, antara jumlah tertinggi di negara ini.
"Statistik rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sehingga 31 Januari tahun lalu pula menunjukkan daripada 254,602 unit Rumah Selangorku yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hanya 42,779 unit atau 16.8 peratus berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pembeli," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Muhammad Faizzuddin menjelaskan, sebanyak 186,231 unit atau 73.15 peratus masih berada di peringkat perancangan dan kelulusan teknikal, manakala 25,592 unit lagi masih dalam pembinaan.
"Keadaan ini menyebabkan ramai anak muda terus menyewa kerana sukar memiliki rumah sendiri akibat harga pasaran yang tinggi dan kelewatan projek rumah mampu milik disiapkan.
"Perdana Menteri sepatutnya menyelesaikan isu kritikal ini di Selangor terlebih dahulu sebelum memasang cita-cita untuk menawan Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

