Permohonan Rumah Mampu Milik Kelantan untuk mangsa Gok Kapor akan dipermudah

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan akan mempermudahkan proses permohonan pembelian Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) di Badang kepada 27 mangsa kebakaran Gok Kapor yang berminat memiliki kediaman sendiri.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, permohonan boleh diajukan ke pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di mana beliau sendiri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri itu yang akan membantu proses berkenaan.
“Kalau ada mangsa yang berminat membeli Rumah Mampu Milik Kelantan di Badang, kami akan bantu angkat permohon kepada bahagian Perumahan Pejabat Setiusaha Negeri Kelantan.
“Rumah itu bukan diberi secara percuma, sebaliknya dijual pada harga mampu milik mengikut kategori yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Bencana Kebakaran Kampung Gok Kapur di sini pada Khamis.
Beliau berkata, projek RMMK itu menawarkan beberapa kategori harga iaitu RM45,000, RM80,000, RM85,000 dan RM130,000 mengikut jenis unit.
Katanya, permohonan mengikut kekosongan boleh dibuat melalui Bahagian Perumahan SUK Kelantan atau melalui wakil rakyat kawasan masing-masing sebelum diproses oleh pihak berkaitan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan untuk menyediakan rumah itu secara percuma kepada mangsa kebakaran memandangkan masih ramai rakyat yang memerlukan bantuan perumahan.
“Kami perlu melihat keutamaan kerana ada rakyat yang langsung tidak mempunyai tanah, rumah mahupun sumber pendapatan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan sewa rumah sebanyak RM500 sebulan selama tiga bulan kepada mangsa kebakaran Gok Kapor yang menyewa rumah selepas kebakaran.
Sementara itu, Tabung Bencana Kebakaran Gok Kapur berjaya mengumpulkan RM337,000 hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai.
“Daripada 27 rumah yang terjejas, 25 pemilik rumah yang musnah sepenuhnya menerima bantuan kira-kira RM12,000 setiap seorang.
“Dua lagi rumah yang mengalami kerosakan sebahagiannya menerima bantuan berjumlah RM8,000,” katanya.
Seorang mangsa, Mat Jusoh Abd Ghani, 67, berkata, wang bantuan yang diterimanya tidak akan dibelanjakan sewenang-wenangnya, sebaliknya akan disimpan sebagai permulaan untuk membina semula rumah yang musnah dalam kebakaran 8 Jun lalu.
Bekas buruh kasar itu berkata, dia dan isterinya, Roslina Ahmad, 57, kini menyewa rumah dengan kadar RM600 sebulan yang ditanggung Masjid Banggol selama dua bulan bersama anak bongsu yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.
“Saya memang bercadang simpan duit bantuan ini dan kalau ada rezeki, kumpul sikit-sikit untuk bina rumah lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

