Had tempoh jawatan Perdana Menteri 10 tahun elak kezaliman - Azalina

Azalina. Foto Sinar Harian - HALIM ABDUL WAHID
Azalina. Foto Sinar Harian - HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR – Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 merupakan langkah penting bagi memastikan peralihan kuasa berlaku secara sihat serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pembaharuan itu bukan bertujuan menyasarkan mana-mana individu, sebaliknya dibuat demi kepentingan negara pada masa hadapan.

“Saya melihat bagi negara kalau Perdana Menteri itu kita hadkan tempoh dia, elok untuk negara sebab tidak payahlah orang yang sama.

“Ini satu proses yang mewujudkan konsep tempoh jawatan yang tidak seolah-olah dia mati dalam jawatan itu,” katanya dalam temu bual khas bersama media di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini pada Isnin.

Pada 2 Mac lalu, RUU berkenaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat, sekali gus tidak dapat diluluskan.

Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas undian dijalankan sejurus tamat sesi perbahasan yang melibatkan 41 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, had tempoh jawatan itu juga mampu mewujudkan budaya peralihan kuasa yang lebih teratur dan mengukuhkan amalan demokrasi.

"Kalau pemimpin tidak bertukar, kemungkinan pemimpin itu akan mewujudkan kezaliman.

"Apabila tiada peralihan kuasa, ia boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berpandangan bahawa amalan mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan juga dapat membuka peluang kepada lebih ramai pemimpin untuk menyumbang kepada negara.

Dalam pada itu, Azalina berkata, pelaksanaan reformasi institusi yang sedang diusahakan kerajaan termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan pemisahan fungsi Peguam Negara serta Pendakwa Raya akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Menurut beliau, pelabur secara asasnya menilai tahap kebebasan institusi kehakiman serta keupayaan sistem perundangan sesebuah negara sebelum membuat keputusan untuk melabur.

"Saya selalu lihat kalau pemimpin tidak bertukar, kemungkinan pemimpin itu akan mewujudkan kezalimanlah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!