Tak setuju benar kedai gunting beroperasi semasa PKP

M Ganathiban
M Ganathiban
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor & Wilayah Persekutuan tidak bersetuju dengan langkah kerajaan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, M Ganathiban berkata, perkara itu amat berisiko jika dilaksanakan dan akan membahayakan keselamatan tukang gunting dan pelanggan.

Beliau berkata, tambah lagi pihaknya tidak mengetahui pelanggan yang datang ke kedai dari zon kawasan mana dan berkemungkinan mereka pembawa wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, dalam keadaan kritikal sekarang, beliau melihat tiada keperluan untuk kedai gunting beroperasi semula.

"Biarkan tempoh PKP ini selesai dahulu sehingga 28 April ini dan keadaan benar-benar selamat, baru kita lihat sama ada perlu buka kedai atau tidak.

"Ingat, nyawa serta kesihatan lebih berharga...lagipun tidak seronok untuk kita bekerja (gunting rambut) dalam keadaan takut-takut.

"Jika kita mahu lakukan perkara yang kita suka, kita mesti buat dengan ikhlas dan gembira...jika tidak, jangan buat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan membenarkan beberapa sektor tambahan antaranya industri automotif, projek pembinaan serta perkhidmatan terpilih termasuk kedai gunting rambut asas untuk beroperasi secara berperingkat semasa PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Artikel Berkaitan:

Ganathiban yang berpengalaman hampir 21 tahun dalam bidang dandanan rambut berkata, selepas kerajaan membuat pengumuman berhubung hal itu, ramai pelanggan yang menghubungi beliau bertanyakan bila kedai guntingnya akan dibuka.

"Tapi saya sudah maklumkan kepada mereka bahawa operasi dua kedai gunting saya di Taman Tenaga Cheras dan Desa Petaling tidak akan dibuka sepanjang PKP ini.

"Saya dah jelaskan bahawa saya tidak mahu keselamatan mereka atau saya dan para pekerja terancam...nampaknya mereka faham, katanya.

Susulan pengumuman kerajaan berhubung hal itu, menyebabkan ramai pihak memberi reaksi kurang senang kerana bimbang akan wujud kluster baharu iaitu kluster gunting rambut.

Malah Kementerian Kesihatan (KKM) turut meminta kerajaan menangguhkan dahulu kebenaran untuk membuka beberapa sektor ekonomi termasuk perkhidmatan gunting rambut untuk tempoh dua minggu lagi.