X

Kindly register in order to view this article
!

Produktiviti kerja dari rumah

A
A

WABAK Covid-19 yang menular menyebabkan kita perlu terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini, dan ia menyebabkan kegiatan ekonomi terhenti seketika.

Namun, kehadiran Covid-19 tidak bermaksud kita berkompromi dengan produktiviti tanpa melakukan apa-apa pekerjaan di rumah. Banyak sektor awam, pusat pengajian tinggi, sekolah dan syarikat telah melaksanakan kerja dari rumah terutama sewaktu kuarantin. Bekerja dari rumah secara produktif dan kreatif boleh menjadi era dan paradigma baharu masa kini.

Mesyuarat, perbincangan dan kerja mengurus, segalanya dibuat melalui internet dan pendigitalan. Selain menjaga jarak sosial, trend ini akan menjadi satu budaya sekarang dan pada masa akan datang. Bekerja dari rumah jika mengikut prosedur dan sistem yang betul masih lagi produktif. Mereka yang bekerja dari rumah ini mempunyai masa yang fleksibel dan persekitaran ruang kerja yang tenang.

Juga mempunyai keseimbangan antara rumah dan pejabat. Jika dilaksanakan dengan efektif, ia dapat mengurangkan kos. Malah, kita tidak perlu terlibat dalam kesesakan lalu lintas, namun tetap menyiapkan kerja atau produk yang diperlukan.

Begitupun, cabaran paling besar bekerja dari rumah adalah bagaimana untuk menjadi lebih produktif di luar daripada struktur organisasi pejabat. Bagi mereka yang tidak biasa bekerja di rumah atau tiada stesen kerja yang teratur, beberapa faktor boleh mengganggu produktiviti. Biasalah, kita sering bersosial tiba-tiba terpaksa kuarantin di rumah bersendirian. Serba tak kena dan janggal.

Apa yang dapat kita saksikan dalam media sosial, apabila lockdown ini diarahkan, banyak resipi dan menu baharu muncul seolah-olah ada pertandingan atau pesta makanan pula. Kenapa tidak kita jual produk tersebut secara online? Sebenarnya, ramai yang terkesan dengan Covid-19 sehingga ada yang hilang punca pendapatan. Justeru, perlu juga kita memikirkan pendekatan dan paradigma baharu bagi memasarkan produk.

Dengan PKP ini, kaedah yang paling sesuai ialah menggunakan pendekatan online. Sesiapa sahaja boleh menjual barangan, makanan atau apa sahaja asalkan mempunyai pendekatan yang kreatif dan mudah.

Cabaran

Ramai juga yang mengatakan tidak puas sebab duduk di rumah menyebabkan kita tidak boleh berinteraksi bersua muka secara fizikal. Bagaimanapun, ini akan menjadi trend terkini yang harus kita terima untuk tempoh yang lebih lama.

Mungkin kita masih lagi mahu berjoging atau melepak bersama rakan di restoran, tetapi itu tidak dibenarkan. Bagi yang berkeluarga, anak-anak atau pasangan berteriak ingin keluar dan berjalan-jalan. Itu juga tidak boleh dilakukan semasa wabak Covid-19.

Jika anda tidak pernah bekerja dari rumah, adalah penting untuk mempunyai jadual yang jelas dan mematuhinya. Elakkan daripada tidur berlarutan terutamanya selepas sarapan pagi, dan bekerjalah seolah-olah seperti duduk di pejabat, walaupun sebenarnya anda cuma berjalan ke bilik sebelah di dalam rumah sendiri.

Semua orang ada cara yang berbeza. Terserahlah. Yang penting anda mengutamakan produktiviti dalam apa juga keadaan.

Apa yang penting, elakkan sindrom 'demam rumah' iaitu anda menghabiskan masa di rumah dengan hanya bekerja. Sekali-sekala, anda perlu keluar rumah, mungkin berkebun atau berjalan di sekeliling rumah. Kajian menunjukkan bahawa menghabiskan masa dalam keadaan santai dapat menurunkan tekanan, membantu anda berehat dan membersihkan fikiran anda.

Selepas waktu kerja, nikmati aktiviti lain, mungkin membaca buku, atau memasak hidangan yang menyeronokkan. Gunakan Facetime, Facebook atau Skype untuk menghubungi rakan dan ahli keluarga supaya anda sentiasa berasa terhubung dengan orang tersayang.

Sesunguhnya Covid-19 telah mengubah cara kita berfikir, bertingkah laku dan bertindak. Apa sahaja yang kita lakukan di rumah dan mendatangkan faedah, itu dikira sebagai produktif. Kita perlu mengikuti perkembangan dan trend terkini, kesan daripada wabak yang melanda seluruh dunia.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus