Keputusan STAM 18 April ini

KPM memaklumkan keputusan peperiksaan STAM akan diumumkan pada 18 April ini.
KPM memaklumkan keputusan peperiksaan STAM akan diumumkan pada 18 April ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan diumumkan pada 18 April ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, calon boleh memeriksa keputusan masing-masing bermula jam 10 pagi pada hari berkenaan.

"Kita akan pastikan pengumuman dibuat aturan biasa dan diumumkan pada 18 April.

"Kepada anak-anak yang akan ambil keputusan STAM, kita ucapkan semoga berjaya dan mudah-mudahan keputusan ini akan memberi kejayaan dan melonjakkan lagi semangat anak-anak untuk sambung belajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Forum Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2023 di sini pada Selasa.

Tambah Fadhlina, seramai 4,634 calon yang menduduki peperiksaan STAM 2022 di 134 pusat peperiksaan di seluruh negara pada 16 hingga 19 Januari, 30 dan 31 Januari serta 2 Februari lalu.

Bagi calon-calon persendirian, mereka boleh mendapatkan keputusan secara dalam talian iaitu di pautan www.myresultstam.moe.gov.my bermula jam 10 pagi.

Mereka juga boleh mendapatkan keputusan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STAM (Nombor Kad Pengenalan) (Angka Giliran) dan hantar ke 15888.

Sistem SMS itu akan diaktifkan bermula 10 pagi 18 April 2023 sehingga 6 petang, 25 April 2023.