Bekas pesakit Covid-19 bantu gelandangan jalani kehidupan

Sumbangan makanan akan diberikan secara berterusan sepanjang tempoh PKP
Sumbangan makanan akan diberikan secara berterusan sepanjang tempoh PKP
A
A
A

IPOH - Pengalaman seorang penjawat awam berhadapan dengan wabak koronavirus (Covid-19) pada pertengahan Mac lalu ibarat menerima peluang kedua untuk meneruskan kehidupan setelah disahkan bebas dari penyakit itu baru-baru ini.

Khairol Najmi Roslan, 30, berazam untuk terus berkongsi rezeki dan nikmat syukur dengan membantu golongan yang memerlukan terutamanya gelandangan.

“Setelah doktor sahkan keputusan saya negatif dan pulih sepenuhnya, saya mula membantu mereka terutama yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Mereka inilah (gelandangan) golongan yang tiada wang untuk membeli makanan.

“Usaha ini turut mendapat sokongan orang persendirian dan syarikat yang bersama-sama menyumbang wang tunai dan barang keperluan asas,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Dato Tahwil Azar di sini semalam.

Sejumlah 130 bungkusan makanan dan kek diserahkan kepada gelandangan yang turut melibatkan wanita dan kanak-kanak.

Sebanyak 130 bungkusan makanan diberikan kepada gelandangan di sekitar Taman Kanak-Kanak di Ipoh di sini semalam.
Sebanyak 130 bungkusan makanan diberikan kepada gelandangan di sekitar Taman Kanak-Kanak di Ipoh di sini semalam.

Menurutnya, sumbangan itu diteruskan setiap hari melibatkan tiga lokasi termasuk Kampung Paloh dan Jalan Dato Onn Jaafar.

“Tiga lokasi ini ramai gelandangan yang memerlukan perhatian kita semua. Kadang kala ia tidak mencukupi hingga ada yang bergaduh untuk merebut makanan.

Artikel Berkaitan:

“Setiap hari pasukan kami menyediakan 200 bungkus makanan untuk diedarkan membabitkan kos antara RM700 hingga RM800. Ia akan diteruskan sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Menceritakan kembali simptom awal terkena penyakit itu, Khairol Najmi berkata, dia terpaksa menahan rasa sakit lebih tujuh jam ketika dalam pulang ke Ipoh.

“Saya bercuti bersama rakan ke London selama 10 hari dan ketika dalam penerbangan pulang saya merasa sakit perut dan kepala serta demam. Saya tidak pernah merasa sakit sebegitu.

“Saya terus menuju ke Hospital Raja Permaisuri Bainun tanpa bertemu dengan keluarga dan menerima rawatan selama 14 hari,” katanya.

Katanya, sentiasa kekal positif dan kuat semangat ketika keseorangan menerima rawatan adalah faktor tambahan untuk melawan virus itu.

“Saya anak lelaki tunggal setelah ketiadaan ayah, saya perlu kuat semangat demi ibu dan adik-adik. Mereka memerlukan saya.

“Sepanjang menerima rawatan, doktor dan jururawat banyak membantu. Saya diberi ubat malaria sehingga akhirnya saya disahkan negatif. Saya dikuarantin 14 hari lagi dan keputusan ketiga menunjukkan negatif dan bebas dari penyakit itu,” katanya.