Peningkatan zon merah, ingkar PKP faktor lanjutan PKP

Kelihatan tiada kenderaan yang melalui sekatan pihak Polis dan Angkatan Tentera (ATM) di Lebuh Sentosa Putrajaya. -Foto Bernama
Kelihatan tiada kenderaan yang melalui sekatan pihak Polis dan Angkatan Tentera (ATM) di Lebuh Sentosa Putrajaya. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengumuman kerajaan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermakna Malaysia kini memasuki fasa ketiga di bawah arahan tersebut.

Walaupun netizen menerusi beberapa undian dalam talian bersetuju bahawa PKP perlu dilanjutkan, tetapi adakah rakyat secara keseluruhan memahami kepentingan PKP dan mengapa arahan itu perlu diteruskan?

Keluk graf jumlah kes Covid-19 masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan pulih dalam masa terdekat, walaupun telah hampir sebulan rakyat Malaysia menjalani kehidupan di bawah PKP sejak arahan itu dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas, malah zon merah kes Covid-19 terus bertambah.

Pelbagai punca dikatakan menyumbang kepada keadaan itu antaranya kedegilan segelintir rakyat untuk patuh kepada PKP sehingga pelbagai usaha untuk memutuskan rantaian wabak berkenaan belum berhasil sepenuhnya.

Terbaru, daerah Hulu Selangor dikategorikan sebagai zon merah iaitu kes positif lebih 41 kes dan ke atas, menjadikan jumlah keseluruhan zon merah di seluruh Malaysia setakat semalam 25 kawasan.

PKP, yang penguatkuasaannya dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama pada 18 Mac hingga 31 Mac dan dilanjutkan pada 1 April hingga 14 April (fasa dua), menyaksikan peningkatan jumlah individu ditahan kerana ingkar PKP.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, seramai 7,479 individu ditahan sejak 18 Mac hingga semalam.

Sebagai langkah meningkatkan pematuhan PKP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak lebih tegas dengan mengenakan kompaun RM1,000 terhadap individu ingkar.

Artikel Berkaitan:

Selain polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan untuk penguatkuasaan PKP, kini anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut bertugas bagi membantu pemeriksaan kenderaan dan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Setiap hari pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pasti mengulangi nasihat - duduk di rumah, kerap mencuci tangan, jarak sosial satu meter - dengan tujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang membawa maut itu.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, jumlah kumulatif kes Covid-19 melibatkan pelbagai kluster di Malaysia adalah 4,346 kes manakala jumlah kematian 70 kes.

Tekad dengan keazaman ‘kita mesti menang’ dalam memerangi Covid-19, Dr Noor Hisham, yang sering kali menegaskan pentingnya kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan (KKM), mahu rakyat Malaysia bersama-sama berperanan terus duduk di rumah kerana tempoh dua minggu PKP fasa dua yang berakhir 14 April ini sangat penting.

Malangnya masih berlaku aktiviti pergerakan tidak dibenarkan seperti kunjung mengunjung ke rumah saudara mara dalam tempoh PKP malahan kenderaan di jalan raya juga didapati semakin meningkat.

Sehingga kini, sebanyak empat lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), membabitkan Simpang Renggam (Johor), Hulu Langat (Selangor), dan tiga bangunan di Kuala Lumpur iaitu Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India.

Tempoh PKPD di Simpang Renggam, yang merupakan lokasi pertama dikenakan PKPD sejak 27 Mac lalu selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19, kini dilanjutkan sehingga 14 April.

Pelbagai aktiviti dijalankan semasa tempoh PKPD, termasuk bancian penduduk, Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) rumah ke rumah, pengambilan sampel, aktiviti disinfeksi berkaitan dan promosi kesihatan.

Tiga negeri terus mencatat jumlah kes positif Covid-19 tertinggi iaitu Selangor 1,148 kes, Kuala Lumpur (713 kes) dan Johor dengan 523 kes.

Ekoran itu, Akademi Perubatan Malaysia (AMM) menggesa PKP dilanjutkan sehingga perayaan Aidilfitri pada Mei ini bagi membendung penularan wabak virus maut dan menjadikan jarak sosial satu kemestian baharu yang perlu dipatuhi.

Kumpulan perubatan itu menyifatkan risiko penyebaran virus itu tinggi terhadap golongan warga tua, dalam kes ‘balik kampung’ beramai-ramai adalah sesuatu yang nyata.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam bancian ‘Wajarkah PKP dilanjutkan Selepas 14 April 2020’ yang menyaksikan 88 peratus daripada 310,454 undian dalam talian menyokong PKP dilanjutkan.

Sentimen seumpamanya turut dikongsi netizen berdasarkan bancian menerusi laman media sosial Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan indikasi 86 peratus daripada 26,300 responden bersetuju PKP perlu dilanjutkan selepas 14 April.

Fasa pertama PKP bermula 18 Mac lalu yang sepatutnya berakhir 31 Mac seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilanjutkan dua minggu memasuki fasa dua sehingga Selasa ini ekoran kes positif Covid-19 yang meningkat di negara ini.

Sejajar dengan kenyataan Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 25 Mac lalu, iaitu tindakan agresif seperti melaksanakan PKP dapat memberi peluang kepada sesebuah negara untuk mengharungi jangkitan Covid-19.

Justeru, tempoh lanjutan PKP di Malaysia akan memberi ruang kepada kerajaan dan KKM untuk memerangi penularan Covid-19.

Aliran semasa kes Covid-19 di Malaysia, menurut KKM masih di peringkat pertengahan dan masih memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan berterusan.

Bagi menangani impak COVID-19 kepada ekonomi dan kehidupan rakyat, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat termasuk pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion dan pakej PRIHATIN (Tambahan) sebanyak RM10 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).- Bernama