Malaysia catat aliran keluar ketiga tertinggi di ASEAN

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NEGARA-negara Asean mencatat aliran keluar asing bersih bagi minggu berakhir 12 Mei, dengan Indonesia meraih aliran keluar asing bersih tertinggi berjumlah AS$139.6 juta, kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu dalam nota hari ini berkata, Thailand mencatat aliran keluar kedua tertinggi untuk minggu keempat berturut-turut iaitu AS$138.3 juta.

Malaysia pula mencatat aliran keluar ketiga tertinggi berikutan pelabur asing kekal sebagai penjual bersih di Bursa Malaysia dengan jumlah aliran keluar asing bersih RM46.4 juta untuk minggu keempat berturut-turut pada minggu dagangan berakhir 12 Mei.

"Filipina merekodkan aliran keluar asing bersih berjumlah US$12.4 juta, manakala Vietnam US$6.2 juta untuk minggu kedua-dua berturut-turut,” katanya.

Bagi Malaysia, MIDF Research berkata, minggu berkenaan bermula dengan positif apabila aliran masuk asing bersih mencatat RM9.5 juta pada Isnin dan RM81.8 juta pada Selasa.

"Warga asing mula melakukan jualan bersih bermula Rabu hingga Jumaat dengan aliran keluar berjumlah sehingga RM137.6 juta,” katanya.

Menurutnya dana asing telah menjadi penjual bersih bagi ekuiti Malaysia untuk tempoh 13 daripada 19 minggu tahun ini dengan aliran keluar berjumlah sehingga RM2.18 bilion.

"Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih adalah telekomunikasi dan media (RM62.9 juta), utiliti (RM26.4 juta) dan perladangan (RM12.1 juta).

"Tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar asing bersih terdiri daripada perkhidmatan kewangan (RM84.5 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM32.6 juta) dan pembinaan (RM17.6 juta),” katanya.

MIDF Research berkata, institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih bagi minggu ketiga berturut-turut iaitu RM49.9 juta pada minggu lepas, dengan setiap hari dagangan adalah hari belian bersih oleh institusi-institusi tempatan melainkan pada Selasa yang menyaksikan aliran keluar sebanyak RM63.9 juta.

"Sebahagian besar aliran masuk diperoleh pada Jumaat iaitu RM72.3 juta apabila Bank Negara Malaysia mengumumkan pengembangan ekonomi domestik yang lebih baik daripada jangkaan iaitu 5.6 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2023,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 14 daripada 19 minggu pada tahun ini dengan aliran masuk berjumlah RM2.09 bilion.

"Peruncit tempatan kekal sebagai penjual bersih bagi minggu kedua berturut-turut sebanyak RM3.6 juta dengan setiap hari dagangan adalah hari jualan bersih kecuali pada Rabu (RM15.3 juta) dan Khamis (RM25.4 juta),” katanya.

Bagaimanapun, peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih ekuiti domestik bagi tempoh sembilan daripada 19 minggu tahun ini dengan jumlah aliran masuk RM93.4 juta.

Dari segi penyertaan, wujud peningkatan purata jumlah dagangan harian dalam kalangan peruncit tempatan iaitu 5.3 peratus, institusi tempatan pada 16.2 peratus dan pelabur asing berjumlah 30.6 peratus. - Bernama