Nelayan menangis dipenjara sebulan, denda RM3,000

Mohd Hafis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.
Mohd Hafis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang nelayan menangis selepas Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 terhadapnya atas kesalahan melarikan diri dari pemeriksaan polis dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Mohd Hafis Ismail, 38, mengaku salah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memutuskan hukuman penjara sebulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap dan denda RM3,000 dan tambahan penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda serta diperintahkan berjalan serentak 14 hari penjara bagi kesalahan kedua.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hafis dengan sengaja menghalang tugas polis dengan melarikan diri dari pemeriksaan polis di Jalan Tun Sri Lanang kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 9 April lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang dihukum di bawah Perkara 7 Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Wai Yi memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat kerana tindakan cuba melarikan diri dari pemeriksaan polis.

Tertuduh diwakili peguam S Amritpal Singh.

Artikel Berkaitan: