Covid-19: PKP dilanjutkan hingga 28 April ini

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berlangsung sejak sebulan lalu akan dilanjutkan selama dua minggu lagi bermula 15 April hingga 28 April hadapan.

Bercakap melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui media rasmi kerajaan, Muhyiddin menegaskan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada petugas kesihatan untuk memerangi sepenuhnya penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Menurutnya, keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira nasihat dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pakar perubatan meskipun pelaksanaan PKP sebelum ini membantu kerajaan mengawal penularan Covid-19 ke tahap stabil.

"Dengan usaha-usaha yang telah dibuat, kes-kes positif Covid-19 adalah terkawal pada kadar tujuh peratus, iaitu di bawah 'benchmark' 10 peratus yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Namun begitu, kita tidak boleh mengambil mudah situasi yang sedang berlaku. Penularan wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan.

Sehubungan itu, berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pakar-pakar perubatan, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan PKP untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu dari 15 April hingga 28 April 2020," katanya.

Muhyiddin turut menegaskan tindakan perlanjutan tempoh PKP ini adalah selaras dengan pandangan WHO yang menyarankan negara-negara di dunia supaya tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal.

"Sepertimana yang berlaku di beberapa buah negara, penularan wabak ini meningkat semula apabila perintah kawalan pergerakan ditamatkan.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang saya hendak sebutkan di sini ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama. Ianya mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus," katanya.

PKP fasa kedua yang sedang berlangsung daripada 1 hingga 14 April ini adalah lanjutan fasa pertama yang bermula daripada 18 hingga 31 Mac lalu sebagai langkah mengurangkan risiko penyebaran wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memberi amaran bahawa negara mungkin tidak mampu menanggung sekiranya kes Covid-19 semakin melonjak tinggi saban hari.