Rakyat perlu sabar, jangan menyerah kalah: Kon Yeow

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Rakyat diminta supaya terus bersabar dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ke-24 hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, rakyat juga jangan mudah menyerah kalah dan perlu memberi kerjasama dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, sebarang keputusan yang akan diumumkan kerajaan Pusat nanti perlu diterima semua pihak.

"Kita sudah memasuki minggu terakhir fasa kedua PKP yang dilaksanakan bagi menangani penularan wabak Covid-19. Sama ada perintah ini akan dilanjutkan atau tidak, saya berharap rakyat boleh menerima hakikat ini dan terus memberikan kerjasama bagi memutuskan rantaian wabak ini daripada terus merebak.

"Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu meneliti lebih mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat. Apa sekalipun keputusannya, saya berharap kita sabar dan beri kerjasama. Ia amat penting, demi keselamatan kita semua dan orang yang kita sayangi," katanya pada sidang media melalui Facebook Live di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Tambahnya, sebagai pemimpin Pulau Pinang, beliau akan terus berjuang dan tidak sesekali akan berputus asa dalam memastikan negeri ini bebas wabak Covid-19.

"Dalam tempoh ini, banyak yang membelenggu fikiran saya, apakah masa depan kita semua. Realitinya, dunia pasca Covid-19 adalah sebuah dunia yang tidak dapat kita bayangkan pada ketika ini. Setelah tiga minggu dalam PKP, saya percaya ramai mulai berasa letih untuk berhadapan dengan kesulitan hidup dan masa depan yang tidak menentu.

"Ada yang tidak sanggup dan tidak mampu lagi mengerti erti ketabahan dalam perjuangan ini dan mahu menyerah diri. Tidak dinafikan, perasaan ini turut bermain dan menghantui saya. Namun, saya tahu bahawa sebagai pemimpin negeri ini, saya ada kewajipan kepada Pulau Pinang dan rakyat. Saya tidak boleh putus asa dalam melawan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku kelak, ia tidak sepatutnya melemahkan semangat untuk terus berjuang.

Tambahnya, sebagai rakyat, kita juga perlu memberi sokongan padu kepada petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus untuk memastikan rantaian Covid-19 terputus.